PETRA JAYA, 20 Oktober: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, meneliti persediaan teks ucapan penggulungan bagi dua kementerian yang diterajuinya menjelang sesi penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, esok.
Dua kementerian berkenaan ialah Kementerian Kewangan dan Ekonomi Baharu serta Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan.
Persediaan itu penting bagi memastikan sesi penggulungan berjalan lancar, selain memberi ruang kepada beliau menyampaikan penjelasan dan perkembangan berkaitan bidang kewangan, ekonomi, infrastruktur serta pembangunan pelabuhan negeri.
Uggah dijadualkan menyampaikan ucapan penggulungan bagi Kementerian Kewangan dan Ekonomi Baharu terlebih dahulu sebelum meneruskan sesi penggulungan bagi Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan.
Dalam perkembangan sama, beliau merakamkan penghargaan kepada semua agensi dan petugas yang memainkan peranan dalam memastikan perjalanan persidangan DUN Sarawak berjalan lancar sejak bermula pada 12 Oktober lalu.
Beliau turut menghargai komitmen, disiplin dan kerjasama erat pasukan bertugas, termasuk kesediaan mereka meluangkan masa serta memastikan urusan pentadbiran dan keperluan operasi harian sepanjang persidangan berlangsung dengan teratur.
Penghargaan itu memperlihatkan kepentingan kerjasama semua pihak di sebalik kelancaran persidangan, yang memerlukan penyelarasan rapi serta komitmen berterusan daripada pelbagai agensi dan petugas.
Oleh Adi Safarman




