DUN: Kes gigitan haiwan di Sarawak meningkat 17.1 peratus

Facebook
WhatsApp
DATUK Amar Dr. Sim Kui Hian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini. Foto Japen

PETRA JAYA, 20 Oktober: Sebanyak 16,976 laporan gigitan haiwan direkodkan di Sarawak sehingga 26 September 2026, meningkat 17.1 peratus berbanding 14,499 laporan dalam tempoh yang sama tahun lalu, menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian.

Beliau berkata peningkatan itu memerlukan komitmen berterusan daripada semua pihak bagi memperkukuh usaha pencegahan dan kawalan rabies di negeri ini.

“Rabies bukan sahaja penyakit yang disebarkan oleh anjing. Kucing yang dijangkiti juga boleh menularkan rabies kepada manusia melalui gigitan dan cakaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Sim, yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, berkata Sarawak merekodkan enam kes rabies dalam kalangan manusia sehingga 26 September tahun ini, berbanding tujuh kes dalam tempoh yang sama pada 2025.

INFOGRAFIK kes rabies di Sarawak. Foto janaan AI

“Sejak wabak itu diisytiharkan pada 2017, sebanyak 96 kes rabies dalam kalangan manusia direkodkan, termasuk 89 kematian,” katanya.

Menurut beliau, orang ramai perlu mengambil serius setiap kes gigitan dan cakaran haiwan, sama ada haiwan peliharaan atau haiwan terbiar, serta mendapatkan rawatan perubatan dengan segera bagi mengelakkan jangkitan penyakit yang boleh membawa maut itu.

Bagi memperkukuh usaha pencegahan rabies, kementerian menerusi pihak berkuasa tempatan turut melaksanakan Program Pelesenan Anjing Percuma 2026 sebagai pelengkap kepada program vaksinasi haiwan yang sedang dijalankan.

Sehubungan itu, sebanyak 6,210 lesen anjing direkodkan oleh pihak berkuasa tempatan di seluruh Sarawak dari Januari hingga Ogos 2026, meningkat 11.6 peratus berbanding 5,566 lesen pada 2025.

Selain itu, sebanyak 4,400 pemasangan mikrocip direkodkan bagi membantu memperkemas rekod pendaftaran haiwan peliharaan.

Beliau berkata kementerian dan pihak berkuasa tempatan akan terus menyokong usaha pencegahan dan kawalan rabies melalui pelesenan anjing, pengurusan anjing terbiar serta penguatkuasaan, dengan kerjasama masyarakat bagi melindungi kesihatan awam.

Oleh Adele Rissa