PETRA JAYA: Sarawak memerlukan peruntukan lebih RM20 bilion bagi merealisasikan liputan bekalan air selaras dengan Pelan Induk Bekalan Air dan Grid Air Sarawak.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata setakat ini liputan bekalan air di seluruh negeri ialah 85.4 peratus dan liputan di luar bandar pula merekodkan kadar 70.5 peratus
“Kementerian komited tingkatkan usaha untuk menyediakan kemudahan bekalan air yang mecukupi di seluruh negeri ini.
“Malah menjadi tanggungjawab kementerian saya memastikan semua rakyat negeri ini dapat menikmati bekalan air yang bersih, terawat dan mencukupi,” katanya ketika menggulung perbahasan di sidang DUN hari ini.
Beliau berkata, sejak 2018 sejumlah RM4 bilion dibawah pembiayaan alternatif melibatkan 304 projek telah diperuntukkan oleh kerajaan Sarawak bagi melaksanakan program Grid Bekalan Air
Katanya, projek yang dijalankan kini telah berada pada fasa terakhir.
Antara kemajuan projek meliputi 269 projek atau 88 peratus telah disiapkan, 27 projek bersamaan sembilan peratus sedang dalam pembinaan dan baki lapan projek lagi atau tiga peratus sedang dalam peringkat pra kontrak dan akan dimulakan pada 2025.
Mengulas lanjut, Julaihi berkata kerajaan Sarawak telah meluluskan siling peruntukan sejumlah RM610.4 juta dibawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) bagi melaksanakan 103 projek bekalan air di seluruh Sarawak.
“Seperti yang dimaklumkan dalam persidangan yang lepas, antara skop utama bagi projek yang sedang dan akan dilaksanakan dibawah RMK-12 adalah bertujuan untuk membina baharu atau menaiktaraf loji rawatan air, stesen pam penggalak, tangki simpanan air, tangki air aras tinggi dan pemasangan saluran paip baharu.
“Projek tersebut kini dalam pelbagai peringkat pelaksanaan di mana 16 projek telah siap, 13 projek dalam pembinaan dan 74 dalam peringkat reka bentuk,” katanya.
Oleh Noor Ikmal