PETRA JAYA: Kajian Kebolehlaksanaan Projek Kereta Api Trans Borneo yang menghubungkan Sabah dan Sarawak dengan Indonesia dan Brunei kini dalam proses melantik perunding oleh Kementerian Pengangkutan di Putrajaya.
Timbalan Menteri Pengangkutan (Penerbangan dan jalan Raya), Datuk Dr Jerip Susil berkata perunding yang dilantik akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan untuk menilai dan menentukan model kereta api yang berpotensi untuk dilaksanakan di Sarawak dan Sabah.
“Kementerian Pengangkutan Sarawak mewakili kerajaan Sarawak dalam kedua-dua jawatankuasa teknikal dan pemandu, bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan (Putrajaya), agensi persekutuan dan badan berkanun yang berkaitan dan kerajaan Sabah untuk menyelaras dan menyelia kajian.
“Ahli jawatankuasa lain dari kerjaaan Sarawak termasuk wakil dari Unit Perancang Ekonomi Sarawak (EPU), Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan (MIPD), Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar dan Jabatan Tanah dan Survei,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Baru Bian (GPS-Ba’kelalan ) di persidangan DUN Sarawak, di sini, hari ini.
Jerip berkata model kewangan Kereta Api Trans Borneo yang merupakan sebahagian daripada skop kajian kebolehlaksanaan akan ditentukan setelah kajian kebolehlaksanaan selesai.
Menjelas lanjut, beliau memberitahu skop kajian kebolehlaksanaan merangkumi bidang seperti skop teknikal, komersial, sosioekonomi dan pembiayaan projek.
”Skop teknikal merangkumi ciri-ciri operasi, kos, penjajaran, stesen dan lokasi depoh dan pengurusan pihak berkepentingan manakala skop komersial melibatkan visi strategik dan cadangan nilai, anggaran permintaan, model pelaksanaan peringkat tinggi, risiko dan cabaran serta penglibatan pihak berkepentingan.
”Bagi skop sosioekonomi, ia merangkumi kes ekonomi untuk Projek Kereta Api Trans Borneo, impak ekonomi dan sosial negara, kesan pemangkin transit, naratif peringkat tinggi dan penglibatan pihak berkepentingan.
”Pembiayaan projek pula melibatkan cadangan pembiayaan projek atau struktur pembiayaan, pendekatan pembayaran berperingkat, model kewangan dan penanda aras dengan pengendali rel lain,” katanya.
Julai lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan pelaksanaan kajian ini bermula Ogos tahun ini dan mengambil masa selama 12 bulan.
Oleh RYNNA SHA’ERRA