DUN: Peruntukan tambahan RM120 juta diluluskan tanpa pindaan

Facebook
WhatsApp
DATUK Amar Douglas Uggah Embas membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2026) 2026 pada sidang DUN Sarawak Ke-19 di Kompleks DUN, hari ini. Foto UKAS

PETRA JAYA, 14 Oktober: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2026) 2026 yang melibatkan perbelanjaan tambahan berjumlah RM120,003,793 bagi menampung keperluan pelbagai kementerian dan jabatan negeri.

RUU berkenaan dibentangkan oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru Kedua serta Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Perbelanjaan tambahan itu diperlukan bagi membiayai pelbagai perkhidmatan yang tidak diperuntukkan atau menerima peruntukan tidak mencukupi dalam anggaran perbelanjaan 2026 serta anggaran tambahan pertama bagi tahun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah turut menyokong RUU berkenaan sebelum ia diluluskan oleh DUN.

Anggaran Tambahan Kedua Perbelanjaan Biasa 2026 itu terkandung dalam Kertas Perintah No. 9 Tahun 2026, manakala butiran terperinci perbelanjaan dinyatakan dalam Kertas Perintah No. 10 Tahun 2026.

RUU berkenaan kemudiannya diluluskan pada bacaan kali ketiga selepas Jawatankuasa Perbekalan meneliti rang undang-undang itu bersama anggaran perbelanjaan tambahan berkenaan dan bersetuju tanpa sebarang pindaan.

Oleh Adele Rissa