DUN: Penubuhan jawatankuasa khas isu Bakun perlu disegerakan

Facebook
WhatsApp
KENNEDY Chukpai Ugon (GPS-Murum) membahaskan RUU Perbekalan (2027), 2026 pada sidang DUN di Kompleks DUN, Petra Jaya.

PETRA JAYA, 14 Oktober: Penubuhan jawatankuasa khas bagi menangani isu penempatan semula Bakun di Sungai Asap serta hak tanah adat masyarakat sekitar Empangan Bakun perlu disegerakan selepas cadangan itu masih belum dilaksanakan sejak Februari lalu.

Kennedy Chukpai Ugon (GPS-Murum) berkata, cadangan penubuhan jawatankuasa khas itu dibuat oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika pertemuan bersama beliau dan wakil komuniti pada 25 Februari lalu.

“Walau bagaimanapun, sehingga kini jawatankuasa tersebut masih belum ditubuhkan, walaupun mesyuarat susulan telah diadakan.

“Antara perkara yang masih memerlukan penyelesaian ialah isu penempatan semula penduduk di Skim Penempatan Semula Bakun (BRS) Sungai Asap serta hak tanah adat masyarakat di kawasan sekitar Empangan Bakun.

“Kedua-dua isu itu telah dibawa kepada perhatian Premier Sarawak dalam pertemuan berkenaan yang turut disertai wakil komuniti terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2027), 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Kennedy meminta supaya penubuhan jawatankuasa khas berkenaan disegerakan dengan penglibatan kementerian, agensi berkaitan serta wakil komuniti.

“Jawatankuasa itu perlu diberikan tanggungjawab yang jelas untuk meneliti isu yang dibangkitkan serta mengemukakan penyelesaian yang adil dan menyeluruh,” jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa usaha tersebut bukan bertujuan mencari kesalahan mana-mana pihak, sebaliknya memastikan masalah lama yang masih dihadapi masyarakat dapat diselesaikan.

“Tujuan kita bukan untuk mencari kesalahan mana-mana pihak.

“Sebaliknya, kita ingin memastikan isu-isu lama yang masih membelenggu masyarakat dapat diselesaikan secara bertanggungjawab dan penuh kebijaksanaan.

“Saya turut berharap kerjasama antara kerajaan negeri, agensi berkaitan dan wakil komuniti dapat membantu mencari penyelesaian terhadap isu berkenaan,” ujarnya.

Untuk rekod, Skim Penempatan Semula Bakun di Sungai Asap diwujudkan bagi menempatkan semula masyarakat yang terjejas akibat pembangunan Empangan Hidroelektrik Bakun.

Oleh Masrin Affirah