Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • DUN: Penempatan buang daerah di Saratok perlu diteliti semula
  • TEMPATAN

DUN: Penempatan buang daerah di Saratok perlu diteliti semula

Utusan Sarawak 9 hours ago
MOHAMAD Duri (GPS-Kalaka) ketika membahaskan usul penghargaan atas ucapan Yang di-Pertua Negeri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Kompleks DUN, Petra Jaya, hari ini. Foto UKAS

PETRA JAYA: Isu keselamatan di Saratok terus menjadi perhatian apabila terdapat kebimbangan dalam kalangan masyarakat berhubung penempatan individu dikenakan hukuman buang daerah di kawasan itu.

Mohamad Duri (GPS-Kalaka) berkata, keadaan tersebut menimbulkan keresahan penduduk berikutan terdapat kecenderungan segelintir individu terbabit terlibat dalam kegiatan jenayah seperti pecah rumah dan mencuri.

Menurutnya, situasi itu dipercayai berpunca daripada kesukaran mendapatkan pekerjaan, pendapatan rendah serta masalah mencari tempat tinggal untuk disewa.

“Baru-baru ini berlaku satu kejadian pecah masuk rumah penduduk dan suspek didapati positif dadah hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan.

“Difahamkan individu tersebut merupakan Orang Pengawasan Polis (OPP) yang ditempatkan di Saratok,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul penghargaan atas ucapan Yang di-Pertua Negeri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Kompleks DUN, Petra Jaya, hari ini.

Sehubungan dengan itu, beliau menggesa kerajaan mengurangkan jumlah individu dikenakan hukuman buang daerah yang dihantar ke Saratok demi menjaga keselamatan serta ketenteraman masyarakat setempat.

Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan isu pemindahan Balai Polis Roban ke Balai Polis Kabong sejak Februari lalu selepas premis sedia ada tidak lagi disewa oleh pemilik bangunan.

Katanya, perkara tersebut menimbulkan kerisauan penduduk terutama melibatkan aspek keselamatan awam dan urusan berkaitan polis kerana mereka kini perlu ke Kabong atau Saratok bagi mendapatkan perkhidmatan.

“Saya memohon agar kerajaan mempertimbangkan untuk mewujudkan semula atau menempatkan kembali Balai Polis di Roban demi kemudahan dan keselamatan rakyat,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menggesa pembinaan bangunan baharu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok disegerakan walaupun tapak pembinaan telah dikenal pasti dan kelulusan dasar sudah diberikan.

Menurutnya, projek tersebut penting bagi memperkukuh aspek keselamatan, kebajikan anggota polis serta meningkatkan keupayaan membanteras jenayah khususnya berkaitan dadah di Saratok.

Beliau turut menegaskan penambahan anggota dan pegawai narkotik amat diperlukan memandangkan isu penyalahgunaan dadah semakin membimbangkan.

Oleh Norman B

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: DUN: Kestabilan politik, ekonomi baharu jadi teras pembangunan Sarawak
Next: DUN: Gangguan air di Sungai Asap, Daro dan Sibu antara isu hangat dibangkitkan ADUN GPS

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.