Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • DUN: Gangguan air di Sungai Asap, Daro dan Sibu antara isu hangat dibangkitkan ADUN GPS
  • TEMPATAN

DUN: Gangguan air di Sungai Asap, Daro dan Sibu antara isu hangat dibangkitkan ADUN GPS

Utusan Sarawak 7 hours ago
KENNEDY Chukpai Ugon (GPS-Murum) ketika membahaskan usul penghargaan atas ucapan Yang di-Pertua Negeri pada persidangan DUN, hari ini.

PETRA JAYA: Gangguan air di Sungai Asap, Daro dan Sibu antara isu hangat dibangkitkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini susulan masalah berlarutan yang terus menjejaskan kehidupan rakyat.

Kennedy Chukpai Ugon (GPS-Murum) berkata rakyat di Sungai Asap masih berdepan masalah yang sering digelar sebagai ‘tiga penyakit serangkai’ iaitu gangguan bekalan air, elektrik dan telekomunikasi yang berlaku hampir setiap hari.

Menurut beliau, isu tersebut perlu diselesaikan segera kerana bekalan air bersih, elektrik stabil dan capaian internet kini bukan lagi kemudahan tambahan tetapi keperluan asas rakyat.

Katanya, jalan pertanian ke lot-lot di Penempatan Semula Bakun Sungai Asap juga perlu diberi perhatian kerana menjadi nadi ekonomi hampir 2,000 keluarga di kawasan tersebut.

“Jurang pembangunan antara bandar dan pedalaman masih ketara dan memerlukan pendekatan lebih agresif, tersusun dan berimpak tinggi,” katanya ketika membahaskan usul penghargaan atas ucapan Yang di-Pertua Negeri pada persidangan DUN, hari ini.

SAFIEE Ahmad (GPS-Daro) ketika membahaskan usul penghargaan atas ucapan Yang di-Pertua Negeri pada persidangan DUN, hari ini.

Dalam pada itu, Safiee Ahmad (GPS-Daro) turut membangkitkan isu tekanan air rendah dan gangguan bekalan air di Daro yang menurutnya semakin ketara ketika musim kemarau.

Beliau berkata sistem bekalan air di Daro ketika ini bergantung kepada Loji Rawatan Air Jemoreng dan Sistem Rawatan Air Akut di Kampung Pangtray, namun kedua-duanya terjejas apabila sumber air sungai berkurangan.

Sehubungan dengan itu, beliau menggesa pelaksanaan projek Sistem Bekalan Air Matu-Daro Bahagian Mukah yang telah diluluskan sebelum ini disegerakan.

Selain isu air, Kennedy turut meminta kerajaan mempercepat naik taraf jalan utama di Murum termasuk laluan ke Lusong Laku, Ulu Jelalong, Long Unan, Long Lawen dan Long Koyan yang menurutnya berada dalam keadaan rosak dan sukar dilalui terutama ketika musim hujan.

Katanya, banyak jalan bekas balak kini menjadi laluan utama rakyat untuk mendapatkan bekalan makanan, rawatan kesihatan dan pendidikan.

CHIENG Jin Ek (GPS-Bukit Assek) ketika membahaskan usul penghargaan atas ucapan Yang di-Pertua Negeri pada persidangan DUN, hari ini.

Sementara itu, Chieng Jin Ek (GPS-Bukit Assek) berkata Sibu kini turut berdepan masalah tekanan air rendah dan gangguan bekalan berulang susulan loji rawatan air sedia ada beroperasi melebihi kapasiti.

Menurut beliau, berdasarkan taklimat Sarawak Water Sdn Bhd, Sibu kini mengalami kekurangan bekalan sekitar enam juta liter sehari.

Katanya, banyak paip air lama di bandar itu yang berusia lebih 25 tahun juga sering mengalami kebocoran dan pecah paip.

“Penduduk di kawasan seperti Sibu Jaya, Ulu Sungai Merah, Jalan Tunku Abdul Rahman, Kemuyang dan Sungai Merah masih berdepan bekalan air tidak stabil,” katanya.

Beliau turut menggesa beberapa projek kritikal termasuk pembinaan tangki simpanan air dan penaiktarafan sistem saluran paip dipercepatkan bagi menjamin kestabilan bekalan air jangka panjang.

Dalam perkembangan berkaitan, Safiee turut menggesa sistem pengairan dan saliran di skim pertanian sedia ada dinaik taraf segera bagi memperkukuh sektor pertanian luar bandar termasuk di Sungai Ilas, Meradong dan Skim Padi Daro.

Oleh Shahrul Qaizat

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: DUN: Penempatan buang daerah di Saratok perlu diteliti semula
Next: Eksklusif: Jambatan Batang Lupar 1 dibuka 21 Mei, operasi feri tamat 22 Mei

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.