PETRA JAYA: Pihak berwajib agar mengambil langkah segera untuk memulihkan kegemilangan sukan bolasepak di Sarawak.
Miro Simuh (GPS-Serembu) menegaskan bahawa bola sepak bukan sahaja sukan nombor satu negara dan dunia, tetapi juga berpotensi menjadi wadah perpaduan rakyat Sarawak.
Katanya, bola sepak Sarawak pernah mencapai kegemilangan yang luar biasa pada era “Ngap Sayot”, apabila setiap perlawanan memenuhi stadium dengan penyokong dari pelbagai lapisan masyarakat.
“Pada masa itu, pasukan Sarawak disokong oleh semua kaum Iban, Melayu, Cina, Bidayuh, dan Orang Ulu yang bersatu atas nama semangat patriotisme. Ini menunjukkan bahawa bola sepak mampu menyatukan rakyat dan membangkitkan rasa cinta terhadap negeri dan negara.
“Jika Persatuan Bolasepak Sarawak (Sarawak FA) tidak lagi mampu mengangkat maruah dan semangat bola sepak Sarawak, tanggungjawab ini perlu dipertimbangkan untuk diberikan kepada Persatuan Bolasepak Kuching (Kuching FA), yang jelas mempunyai potensi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahas tentang Rang Undang-Undang Perbekalan (2025), 2024 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Tambah Miro, beliau mencadangkan agar nama Kuching FA ditukar kepada Sarawak United untuk mewakili seluruh Sarawak.
Pada masa sama, beliau turut mencadangkan agar perubahan dilakukan dalam barisan pengurusan kepada mereka yang komited dan berdedikasi terhadap negeri ini.
Dalam pada itu, beliau berharap agar langkah ini dapat memulihkan semangat Ngap Sayot dan menjadikan bola sepak sebagai medium penting dalam memupuk perpaduan rakyat Sarawak.
Oleh Mohd Neenatul Aizal