PETRA JAYA, 14 Oktober: Kerajaan Sarawak digesa mempercepat usaha menaik taraf Jalan Bau-Kuching bagi meningkatkan keselamatan dan kelancaran pergerakan pengguna, susulan peningkatan jumlah trafik serta pembangunan pesat di kawasan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Dato Miro Simuh berkata, laluan itu merupakan penghubung penting bagi penduduk Bau dan kawasan sekitarnya untuk ke Kuching bagi urusan pekerjaan, pendidikan, kesihatan, perniagaan dan mendapatkan perkhidmatan asas.
Menurutnya, peningkatan jumlah trafik serta perkembangan kawasan perumahan, komersial dan pelancongan menjadikan naik taraf jalan berkenaan satu keperluan mendesak.
Beliau mengalu-alukan pelaksanaan projek naik taraf jalan dari persimpangan Bau-Lundu ke pekan Bau yang melibatkan peruntukan RM74 juta, namun berkata projek itu hanya meliputi sebahagian daripada keseluruhan laluan berkenaan.
“Saya ingin mendapatkan penjelasan mengenai status terkini keseluruhan program naik taraf ini, fasa seterusnya yang dicadangkan serta sama ada peruntukan khusus dan garis masa pelaksanaan telah ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027) 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di Kompleks DUN Sarawak, hari ini.
Selain pembangunan infrastruktur jalan raya, Miro turut menggesa agar kelulusan projek pembangunan dipercepatkan dan tempoh pemprosesan ditetapkan bagi mengelakkan kelewatan pelaksanaan, khususnya di kawasan luar bandar.
Dalam bidang pendidikan, beliau mencadangkan penambahbaikan kemudahan sekolah luar bandar, capaian internet dan peralatan digital, selain peluasan pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Beliau turut mencadangkan penyediaan pelan jangka panjang bagi pendidikan dan pembangunan bakat yang disertakan sasaran terukur untuk meningkatkan pencapaian murid, akses digital dan kebolehpasaran graduan.
Bagi pembangunan ekonomi Serembu, beliau mengetengahkan peruntukan RM40 juta bagi Taman Perindustrian Pemprosesan Makanan Serembu di Paku, cadangan pembangunan ladang lembu bersepadu bernilai RM15 juta di Kampung Kandis dan Seromah serta inisiatif pembangunan pelancongan bernilai RM10 juta.

Miro turut mencadangkan pemberian subsidi makanan ternakan secara bersasar bagi membantu penternak kecil mengurangkan kos pengeluaran.
Beliau menyambut baik peruntukan RM24.57 juta bagi pembangunan sektor ternakan dalam Belanjawan Sarawak 2027, termasuk RM18.5 juta untuk stok baka berkualiti dan RM3.37 juta bagi pembangunan ternakan komersial.
Beliau turut meminta kementerian berkaitan menjelaskan ketersediaan data pengeluaran dan permintaan makanan mengikut daerah bagi membantu menentukan keutamaan pelaburan dalam sektor pertanian serta mengurangkan kebergantungan terhadap makanan import.
Dalam sektor pelancongan, beliau menggesa agar sokongan dipertingkatkan bagi pembangunan tarikan tempatan, penambahbaikan kemudahan dan akses, latihan pengusaha serta promosi menerusi pemasaran digital.
Menyentuh kedudukan kewangan negeri, Miro berkata, Sarawak mengunjurkan hasil sebanyak RM15.091 bilion dan lebihan belanjawan RM246 juta bagi 2027.
Beliau turut merujuk hasil negeri sebanyak RM14.2 bilion pada 2024 dan RM12.553 bilion pada 2025, selain Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita sebanyak RM73,737 berbanding purata nasional RM59,167.
Mengulas lanjut, Miro berkata, perbezaan politik tidak seharusnya menghalang pengiktirafan terhadap pencapaian yang membawa manfaat kepada Sarawak dan rakyatnya.
“Jika sesuatu itu baik untuk Sarawak, kita mesti berani mengakuinya tanpa mengira siapa yang mencapainya. Sarawak memerlukan politik yang mengutamakan hasil, bukannya politik penafian,” katanya.
Beliau turut menegaskan kepentingan Sarawak untuk terus memperjuangkan hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), memperkukuh kebebasan fiskal serta memastikan pembangunan dinikmati semua lapisan masyarakat, sama ada di bandar mahupun di luar bandar.
Miro menyatakan sokongan terhadap Belanjawan Sarawak 2027.
Oleh Shikin Mahmud




