PETRA JAYA: Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD) menyasar untuk meningkatkan kadar tahap sara diri (SSL) ternakan ruminan di negeri ini daripada 15 peratus kepada 25 peratus pada 2030.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul rahman Ismail berkata, bagi mencapai sasaran tersebut, populasi ternakan ruminan perlu dipertingkatkan kepada 158,750 ekor merangkumi 60,000 ekor lembu, 20,000 ekor kerbau dan 78,750 ekor kambing dan bebiri.
”Populasi ternakan ruminan setakat tahun ini ialah dalam lingkungan 35,000 ekor berbanding 32,000 ekor pada 2023.
”Peningkatan sebanyak 3,000 ekor ini telah memberikan dorongan kepada Kementerian saya untuk terus memantapkan usaha bagi membangunkan industri ternakan ruminan termasuk menggalakkan penyertaan pihak swasta bagi penternakan ruminan berskala komersial dan moden,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Miro Simuh (GPS-Serembu) mengenai perancangan kerajaan dalam pembangunan ternakan ruminan di negeri ini di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Menjelas lanjut, beliau berkata, kementeriannya turut merancang dua inisiatif untuk memantapkan lagi industri ruminan termasuk memperbaiki baka ternakan di Sarawak.
Antara langkah itu termasuk menubuhkan Pusat Bioteknologi Ruminan di Sungai Pinang, Simunjan dengan anggaran peruntukan sejumlah RM2 juta untuk pembangunan awal pusat ini.
”Pusat ini bertujuan menjalankan penyelidikan dari segi penambahbaikan genetik, penggunaan teknologi moden dalam pembiakan seperti pemindahan embrio dan lain-lain kajian yang berkaitan.
”Selain itu, kementerian juga bercadang untuk menubuhkan Lembaga Kemajuan Ternakan Sarawak (Sarawak Livestock Development Board) dalam masa terdekat.
”Sarawak Livestock Development Board ini ialah sebuah lembaga yang akan menyelaras industri penternakan ruminan secara keseluruhan di Sarawak,” jelasnya.
Oleh Rynna Sha’erra