DUN: Liputan internet luar bandar Sarikei, Kalaka perlu dipertingkat

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Huang Tiong Sii (GPS-Repok) ketika membahaskan RUU Perbekalan (2027), 2026 pada persidangan DUN di Kompleks DUN, Petra Jaya, hari ini. Foto Japen Sarawak

PETRA JAYA, 14 Oktober: Masalah liputan telekomunikasi dan internet di beberapa kawasan pedalaman Sarikei dan Kalaka perlu diberikan perhatian bagi memastikan masyarakat luar bandar tidak tercicir daripada arus pembangunan digital Sarawak.

Dato Sri Huang Tiong Sii (GPS-Repok) berkata, beberapa kawasan pedalaman di Sarikei, termasuk rumah panjang dan perkampungan, masih menghadapi masalah liputan telefon dan sambungan internet yang tidak stabil.

Menurutnya, kerajaan perlu memberikan keutamaan kepada usaha memperluas liputan telekomunikasi melalui peningkatan kapasiti jalur lebar serta penggunaan teknologi moden seperti 5G.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2027), 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks DUN, di sini, hari ini.

MOHD Duri (GPS-Kalaka) ketika membahaskan RUU Perbekalan (2027), 2026 pada persidangan DUN di Kompleks DUN, Petra Jaya, hari ini. Foto Japen Sarawak

Huang turut menyambut baik peruntukan RM309 juta menerusi pembiayaan alternatif bagi pembinaan menara telekomunikasi Smart di seluruh Sarawak pada 2027.

Sementara itu, Mohd Duri (GPS-Kalaka) turut membangkitkan masalah ketiadaan liputan telefon dan internet di Rumah Augustine Empayak, Rumah Siti Belanda, Rumah Joshua dan Rumah Christopher.

Katanya, keadaan itu menyukarkan penduduk untuk berhubung dengan keluarga, mendapatkan maklumat kecemasan, mengikuti pembelajaran dalam talian serta mengakses perkhidmatan digital kerajaan.

“Akses internet bukan lagi satu kemewahan, sebaliknya merupakan keperluan penting untuk pendidikan, komunikasi, perniagaan dan urusan harian.

“Jangan sampai penduduk di kawasan pedalaman terus ketinggalan hanya kerana mereka tinggal jauh dari pusat bandar,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Duri meminta kerajaan, menerusi agensi berkaitan termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), menjalankan pemeriksaan liputan serta mengenal pasti keperluan menaik taraf infrastruktur telekomunikasi di kawasan terbabit.

Oleh Norman B