PETRA JAYA: Dana tambahan dari kerajaan Sarawak amat perlu untuk mengukur perimeter tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang masih tertunggak terutama di kawasan Baleh.
Nicholas Kudi Jantai (GPS-Baleh) berkata, permintaan untuk kerja mengukur tanah NCR semakin meningkat, namun terhalang oleh kekurangan peruntukan dan kakitangan yang terhad.
“Kawasan Baleh dan Kapit adalah antara yang terluas di Sarawak dan proses penyukatan tanah memerlukan tenaga kerja serta sumber yang lebih besar.
“Jadi, saya mencadangkan agar kita melantik juruukur bertauliah yang berlesen untuk mempercepatkan proses penyukatan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahas Rang Undang-Undang Perbekalan (2025), 2024 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Nicholas turut mencadangkan penubuhan Pusat Pertumbuhan Desa (RGC) di kawasan strategik di Baleh bagi memajukan ekonomi setempat.
Katanya, RGC akan membantu merancakkan sektor pertanian, penternakan dan perikanan penduduk luar bandar kerana kawasan Baleh sesuai untuk pertanian komersial seperti tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan serta penternakan ikan dan udang air tawar.
“Pusat ini dapat menjadi pusat sehenti bagi penduduk tempatan untuk menjual hasil mereka tanpa melalui orang tengah, sekali gus meningkatkan pendapatan penduduk setempat,” katanya.
Pada masa sama, Nicholas turut melaporkan bahawa sebanyak tujuh klinik desa yang daif di kawasan Baleh, termasuk Klinik Kesihatan Nanga Melinau, Nanga Sekeroh dan Nanga Merirai, berada dalam keadaan uzur.
“Klinik-klinik ini, termasuk kuarters untuk kakitangan, sudah lama tidak dibaik pulih. Walaupun berdepan kekurangan ini, kakitangan klinik tetap berkhidmat dengan penuh dedikasi.
“Kita perlu menghargai pengorbanan mereka dengan memastikan keselesaan mereka terjamin,” katanya.
Beliau berharap kerajaan Sarawak akan memberi perhatian segera kepada isu-isu ini demi meningkatkan kesejahteraan dan kemudahan hidup penduduk luar bandar di Baleh.
Oleh Mohd Neenatul Aizal