SARIKEI: SEJUMLAH RM200,000 dana untuk aktiviti tahunan diagihkan kepada seramai 119 penerima terdiri daripada Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Zon Sarikei untuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Rajang.
Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datu Len Talif Salleh berkata, geran pembangunan kecil luar bandar (MRP) yang diagihkan tersebut adalah dana untuk mengadakan aktiviti-aktiviti tahunan di kampung dan rumah panjang.
“Hari ini (kelmarin) saya tunaikan janji untuk memberi dana kepada KMKK dan PIBG untuk mereka mengadakan aktiviti-aktiviti tahunan di kampung dan rumah panjang sempena Hari Raya Aidilfitri dan Gawai Dayak.
“Oleh itu,saya mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana dapat hadir ke majlis penyerahan dana aktiviti tahunan ini.
“Dari segi jumlah peruntukan dana yang kita agihkan hari ini ialah berjumlah kira-kira RM200,000 bagi mereka menjalankan aktiviti mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ada di rumah panjang dan kampung masing-masing,” katanya ketika ditemui pemberita, petang kelmarin di Dewan Sri Nyelong selepas menyerahkan dana tersebut di Majlis Penyerahan Dana Aktiviti Tahunan.
Tambahnya, beliau berharap KMKK dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka sebagai pemimpin di peringkat akar umbi untuk menterjemahkan polisi-polisi kerajaan dan juga meneruskan aktiviti-aktiviti bagi merapatkan lagi warga tempatan di kawasan masing-masing.
“Maklumlah dalam keadaan politik hari ini memang banyak dugaan dan cabaran.
“Jadi harapan kita supaya KMKK dapat menjadi pemimpin di peringkat akar umbi yang sentiasa berhubung dan menerangkan polisi-polisi kerajaan bagi mengelakkan mereka terpengaruh dengan berita-berita palsu di laman sosial dan khabar angin yang tidak benar berkenaan kerajaan di sekitar mereka,” ujarnya.
Mengulas berkenaan dengan lawatan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ke Sarikei pada 23 Jun ini, Datu Len berkata, Mesyuarat Penyelarasan Pembangunan Negeri (SDCCM) pada hari berkenaant telah dijadualkan tiga bulan lepas tetapi oleh kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mesyuarat ditangguhkan ke tarikh berkenaan.
“Jadi, 23 Jun ini merupakan rutin Ketua Menteri untuk mengadakan mesyuarat tersebut.
“Sebelum PKP, mesyuarat ini dijalankan di Sri Aman. Sepatutnya kita mengadakan mesyuarat ini pada Mac lalu.
“Alhamdulillah, kita akan mengadakan mesyuarat ini akan dipengerusikan oleh Ketua Menteri berkaitan melihat perkembangan projek yang sudah dirancang dan masih dalam pelaksanaan,” katanya lagi.
Turut hadir Timbalan Residen Sarikei, Abang Porkan Abang Budiman dan Pegawai Daerah Sarikei, Christopher Ranggau Unting.