PETRA JAYA: Pembinaan Kompleks Pentadbiran Kerajaan Sarawak di Daro kini masih dalam proses pertapakan dan reka bentuk, kata Datuk Jefferson Jamit Unyat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) itu berkata pelaksanaan projek itu dijangka bermula pada penghujung 2025 manakala tempoh pelaksanaan projek ialah selama 24 bulan.
”Pembinaan kompleks ini termasuk di dalam senarai Projek Pembinaan Service Quarters dan Bangunan Pejabat Kerajaan Sarawak yang telah diluluskan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12).
”Cadangan Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Daerah Daro akan menempatkan pelbagai jabatan serta agensi kerajaan bagi memudahkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Safiee Ahmad (GPS-Daro) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau memaklumkan anggaran kos bagi projek pembinaan pusat pentadbiran itu ialah sebanyak RM15 juta.
Katanya, komponen projek pembinaan Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Daerah Daro itu merangkumi sebuah blok bangunan Pusat Pentadbiran Bersepadu dan kerja-kerja luar yang berkaitan.
Menjelas lanjut, beliau berkata pusat pentadbiran itu dicadangkan untuk menempatkan pelbagai jabatan dan agensi seperti Pejabat Daerah Daro, Mahkamah Bumiputera, Bilik Ketua Masyarakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pertanian dan Jabatan Kerja Raya.
Selain itu, jabatan Pengairan dan Saliran, jabatan Bekalan Air Luar Bandar, Jabatan Agama Islam, pejabat-pejabat persekutuan dan juga Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA).
Oleh RYNNA SHA’ERR