KUCHING: Kerja penambahbaikan ‘muka sauk’ di Penempatan Semula Bakun (BRS) Sungai Asap dijalankan tahun depan sebagai perancangan jangka pendek bagi memastikan penduduk di kawasan berkenaan sentiasa menikmati bekalan ari bersih terawat.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti), Datuk Abdul Rahman Junaidi berkata kerja-kerja penambahbaikan itu adalah bagi memastikan fungsi muka sauk tidak terjejas ketika musim banjir.
Selain itu, katanya kerja-kerja penambahbaikan loji sedia ada akan dilaksanakan agar dapat meningkatkan penghasilan air ketika musim kemarau.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon (GPS-Murum) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Sementara itu, bagi perancangan jangka panjang, Abdul Rahman berkata projek cadangan menaik taraf loji rawatan air Sungai Asap yang sedia ada dan kemudahan lain telah dikemukakan untuk pelaksanaan di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12).
Menurutnya, projek tersebut penting bagi memastikan masalah gangguan bekalan air dapat diselesaikan.
Menjawab isu bekalan air terawat di BRS Sungai Asap sering terputus semasa musim kemarau dan banjir, beliau berkata ia berikutan sumber air mentah untuk loji rawatan air Sungai Asap adalah dari Sungai Koyan.
“Ketika musim kemarau, loji ini mengalami kesukaran untuk merawat air sungai tersebut disebabkan oleh perubahan kualiti air mentah yang mendadak.
“Keadaan ini menyebabkan keupayaan loji untuk merawat air terbatas dan penghasilan air di loji menurun sebanyak 20 sehingga 40 peratus.
“Pada ketika musim banjir pula, muka sauk tidak dapat berfungsi sepenuhnya akibat paras air yang tinggi dan aliran sungai deras sehingga menyebabkan fungsi muka sauk terjejas dan kerja-kerja penyelenggaraan perlu dilaksanakan selepas air surut,” katanya.
Di samping itu, katanya, pihak Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) sentiasa memastikan kerja-kerja penyelenggaraan dilaksanakan secara berkala bagi memastikan muka sauk sentiasa berfungsi dan berada dalam keadaan baik.
(Muka Sauk ialah struktur yang dibina di tebing sungai dimana pam yang dipasang padanya akan mengepam air mentah ke loji air sebagai adalah proses pertama bagi rawatan air. Di muka Sauk ini, pam air mentah akan beroperasi pada paras air yang mencukupi dan berhenti sekiranya paras air terlalu rendah).
Oleh RYNNA SHA’ERRA