DUN: Kekurangan tanah jejaskan pembinaan rumah di 14 kampung sekitar Saratok

Facebook
WhatsApp
MOHD Duri (GPS-Kalaka) ketika membahaskan RUU Perbekalan (2027), 2026 pada persidangan DUN di Kompleks DUN, Petra Jaya, hari ini. Foto JaPEN Sarawak

PETRA JAYA, 14 Oktober: Kekurangan tanah untuk pembinaan rumah yang dihadapi penduduk di 14 kampung sekitar pekan Saratok memerlukan perhatian kerajaan bagi memastikan masyarakat setempat mempunyai peluang memiliki kediaman sendiri.

Mohd Duri (GPS-Kalaka) berkata, kekurangan tapak tanah yang sesuai menyebabkan sebahagian penduduk menghadapi kesukaran untuk membina rumah, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Menurutnya, memiliki rumah sendiri merupakan keperluan asas bagi setiap keluarga, namun kekangan tanah menjadi antara cabaran utama yang dihadapi penduduk di kawasan berkenaan.

“Bagi kebanyakan keluarga, memiliki rumah sendiri merupakan impian dan keperluan asas.

“Namun, kekurangan tapak tanah yang sesuai menyebabkan mereka menghadapi kesukaran untuk membina kediaman sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2027), 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks DUN, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Mohd Duri meminta kerajaan mempertimbangkan pembinaan perumahan kos rendah atau mampu milik di Saratok bagi membantu penduduk mendapatkan kediaman mengikut kemampuan kewangan masing-masing.

Katanya, keperluan perumahan itu bukan sahaja melibatkan penduduk tempatan, malah mereka yang bekerja di Saratok tetapi berdepan kesukaran mendapatkan kediaman bersesuaian.

“Saya berharap pihak kerajaan dapat meneliti ketersediaan tanah kerajaan, kesesuaian lokasi, permintaan perumahan dan kemampuan penduduk supaya satu perancangan yang teratur dapat dilaksanakan,” jelasnya.

Beliau berkata, perancangan pembangunan perumahan juga perlu mengambil kira keperluan jangka panjang penduduk, khususnya generasi muda yang ingin membina kehidupan dan keluarga sendiri.

“Pembangunan perumahan bukan sekadar membina rumah, tetapi menyediakan persekitaran kehidupan yang selamat, selesa dan sesuai untuk membina keluarga serta masa depan generasi muda,” ujarnya.

Beliau berharap cadangan berkenaan mendapat perhatian kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan keperluan perumahan penduduk di Saratok dapat ditangani secara terancang.

Oleh Norman B