PETRA JAYA, 19 Oktober: Penerima manfaat inisiatif pendidikan percuma kerajaan Sarawak tidak diwajibkan berkhidmat di negeri ini selepas tamat pengajian, sebaliknya bebas menentukan laluan kerjaya masing-masing.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, pendekatan itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk menyediakan peluang pendidikan kepada anak Sarawak tanpa mengenakan sebarang ikatan perkhidmatan.
“Kerajaan berharap graduan yang menerima manfaat itu dapat membina kerjaya di mana-mana sahaja, termasuk di luar negara. Ini sekali gus membuktikan keupayaan institusi pendidikan Sarawak melahirkan graduan berkualiti.
“Kami memberikan mereka kebebasan untuk memilih. Tiada sebarang ikatan kerana kami benar-benar mahu membantu rakyat sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Sehubungan itu, beliau berharap pengalaman yang ditimba graduan ketika bekerja di luar negara dapat mendorong mereka kembali berkhidmat di Sarawak apabila ekonomi negeri terus berkembang dan menawarkan peluang kerjaya serta ganjaran yang lebih baik.
Menurutnya, kehadiran tenaga mahir tempatan juga berpotensi meningkatkan keyakinan pelabur asing untuk melabur di Sarawak, khususnya dalam pembangunan industri yang memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
“Kejayaan anak Sarawak membina kerjaya di peringkat antarabangsa turut memberikan pengiktirafan kepada institusi pendidikan negeri dan membuktikan keupayaan graduan tempatan untuk bersaing di peringkat global,” katanya.
Oleh Adele Rissa





