Eksklusif: Jambatan Batang Lupar 1 dibuka 21 Mei, operasi feri tamat 22 Mei

Facebook
WhatsApp
JAMBATAN Batang Lupar 1 dijadual dibuka kepada orang awam pada 21 Mei ini, sekali gus membolehkan pengguna melalui kawasan itu tanpa guna feri apabila balik untuk Hari Raya Aidiladha dan Gawai Dayak.

KUCHING: Jambatan Batang Lupar 1 dijadual dibuka kepada orang awam pada 21 Mei ini, sekali gus membolehkan pengguna melalui kawasan itu tanpa guna feri apabila balik untuk Hari Raya Aidiladha dan Gawai Dayak.

Operasi perkhidmatan feri di Triso pula akan ditamatkan bermula sehari selepas itu.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut selepas mendapatkan pengesahan daripada Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (Pembangunan Infrastruktur), Datuk Ir Aidel Lariwoo.

Menurut beliau, pembukaan jambatan berkenaan sekali gus menandakan tamatnya penggunaan perkhidmatan feri di laluan tersebut.

Jambatan Batang Lupar 1 dijadual dibuka kepada orang awam pada 21 Mei ini, sekali gus membolehkan pengguna melalui kawasan itu tanpa guna feri apabila balik untuk Hari Raya Aidiladha dan Gawai Dayak. Foto Aidel Lariwoo

“Ya, betul,” katanya ringkas ketika diminta mengesahkan maklumat berhubung pembukaan jambatan itu.

Notis bertarikh 7 Mei 2026 yang tular di media sosial turut memaklumkan Jambatan Batang Lupar 1 akan mula dibuka pada 21 Mei ini, manakala operasi feri sedia ada dihentikan bermula 22 Mei.

Datuk Ir Aidel yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya turut mengesahkan jambatan tersebut akan dibuka kepada orang awam mengikut jadual ditetapkan.

LALUAN jalan raya ke arah Jambatan Batang Lupar 1.

Dengan siapnya jambatan terpanjang merentasi sungai di Malaysia itu, akan memendekkan perjalanan melalui jalan pesisir dari Kuching/Samarahan ke Sarikei/Sibu, berbanding melalui Lebuh Raya Pan Borneo.

Ini juga berikutan siapnya dua jambatan iaitu Jambatan  Sungai Krian dan Jambatan Batang Saribas 1 (Pusa) yang sudah siap baru-baru ini, sekali gus juga mengakhiri dua feri di laluan berkenaan.

Oleh Shahrul Qaizat