DUN: Chieng desak tindakan segera realisasikan Zon Ekonomi Khas Sibu

Facebook
WhatsApp
CHIENG Jin Ek ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027) 2026 pada sidang DUN, hari ini. Foto UKAS

PETRA JAYA, 14 Oktober: Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak perlu mengambil tindakan segera bagi merealisasikan Zon Ekonomi Khas Sibu (SEZ) menerusi pelan pelaksanaan yang jelas, komitmen pembiayaan serta sasaran pelaburan dan pewujudan pekerjaan yang boleh diukur.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Chieng Jin Ek berkata, penubuhan zon ekonomi khas itu berpotensi menjadikan Sibu sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi Sarawak Tengah, namun usaha berkenaan perlu diterjemahkan kepada tindakan konkrit dan bukan sekadar pengumuman.

“Keutamaan sekarang mestilah pelaksanaan, bukannya sekadar pengumuman,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027) 2026 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di Kompleks DUN Sarawak, hari ini.

Beliau mencadangkan empat langkah utama bagi merealisasikan inisiatif itu, termasuk menyediakan insentif pelaburan yang kompetitif, menubuhkan pusat sehenti pelaburan, memberi keutamaan kepada pembangunan infrastruktur strategik serta menyelaraskan zon ekonomi khas berkenaan dengan Projek Pembangunan Semula Bukit Assek.

Menurutnya, insentif yang bersesuaian perlu diperkenalkan bagi menarik pelaburan dalam sektor pembuatan bernilai tinggi, pemprosesan hiliran kayu, pembinaan dan pembaikan kapal, agroindustri, pemprosesan makanan, logistik serta ekonomi hijau.

Beliau turut mencadangkan penubuhan pusat sehenti pelaburan bagi menyelaraskan urusan kelulusan Kerajaan Persekutuan dan negeri, pelesenan perniagaan, permohonan tanah, sambungan utiliti serta keperluan tenaga kerja.

Katanya, pembangunan infrastruktur seperti kawasan perindustrian, bekalan elektrik dan air, rangkaian jalan raya, sistem perparitan, jalur lebar dan kemudahan logistik juga perlu dirancang secara berperingkat dengan menetapkan tanggungjawab pembiayaan serta sasaran penyempurnaan.

Chieng turut menggesa kedua-dua kerajaan menubuhkan jawatankuasa pelaksanaan bersama dan menerbitkan pelan tindakan yang mempunyai garis masa serta sasaran terukur bagi memastikan inisiatif itu memberikan manfaat kepada penduduk.

Beliau berkata, kejayaan Zon Ekonomi Khas Sibu perlu dinilai berdasarkan jumlah pelaburan yang berjaya ditarik, perniagaan yang diwujudkan, peluang pekerjaan yang disediakan dan penambahbaikan yang dinikmati rakyat.

Dalam pada itu, beliau menegaskan Projek Pembangunan Semula Bukit Assek perlu dilaksanakan secara terancang bagi mengubah Sibu menjadi bandar yang lebih moden, mampan dan berdaya saing dari segi ekonomi.

Menurutnya, pelan induk projek itu mendapat kelulusan muktamad Pihak Berkuasa Perancang Sarawak pada 28 Januari 2026 dan melibatkan kawasan seluas kira-kira 331.84 hektar.

Beliau berkata, pembangunan berkenaan bukan sekadar membangunkan semula kawasan tanah, sebaliknya perlu mengintegrasikan perancangan mitigasi banjir, sistem perparitan, pengangkutan, perumahan, pembangunan komersial dan kawasan hijau.

Memandangkan projek itu dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya 15 tahun, beliau menggesa kerajaan menetapkan fasa pelaksanaan serta garis masa yang jelas dengan mengutamakan penambahbaikan infrastruktur dan langkah mitigasi banjir yang mendesak.

Beliau turut menekankan kepentingan penglibatan masyarakat secara berterusan, termasuk mempertimbangkan penyediaan ruang pameran tetap bagi membolehkan penduduk dan pemilik tanah mendapatkan maklumat terkini serta mengemukakan pandangan.

Katanya, penyediaan rumah penempatan semula mampu milik, layanan adil kepada pemilik tanah yang terjejas dan perlindungan kepentingan masyarakat setempat perlu kekal sebagai keutamaan supaya pembangunan tidak menambah beban kewangan rakyat.

Menyentuh hubungan udara, Chieng menggesa kerajaan Sarawak mempertimbangkan penambahan penerbangan dari Sibu, khususnya bagi laluan Sibu–Kuching, Sibu–Kuala Lumpur dan Sibu–Kota Kinabalu apabila kumpulan kedua pesawat pajakan AirBorneo tiba untuk operasi.

Menurutnya, perjalanan udara merupakan perkhidmatan penting bagi penduduk Sarawak untuk urusan perniagaan, pendidikan, rawatan perubatan, pekerjaan dan keluarga, justeru kekerapan penerbangan serta pilihan laluan langsung perlu dipertingkatkan.

Dalam isu bekalan air pula, beliau merakamkan penghargaan kepada Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi atas usaha menangani masalah tekanan air rendah dan gangguan bekalan yang menjejaskan penduduk serta perniagaan di Sibu.

Beliau berkata, Projek Loji Rawatan Air Kecemasan Rantau Panjang mencatat kemajuan fizikal 99 peratus setakat 25 September 2026, manakala pemeriksaan bagi pengeluaran Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CPC) telah dijalankan pada awal Oktober.

Sementara itu, projek menaik taraf Loji Rawatan Air Salim mencatat kemajuan fizikal 93.22 peratus setakat September 2026 dan dijangka meningkatkan kapasiti rawatan air daripada 150 juta liter sehari kepada 300 juta liter sehari.

Bagaimanapun, beliau menggesa kementerian dan Sarawak Waters Sdn Bhd memastikan kemajuan kedua-dua projek itu diterjemahkan kepada peningkatan tekanan air dan kestabilan bekalan di rumah serta kawasan perindustrian.

Mengenai pembangunan di kawasan Bukit Assek sepanjang lima tahun lalu, Chieng berkata, sebanyak RM25 juta diperuntukkan menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dari 2022 hingga 2026 bagi melaksanakan 202 projek.

Daripada jumlah itu, 76 projek melibatkan infrastruktur komuniti, 51 projek penambahbaikan sekolah, 27 projek kemudahan keagamaan dan 48 projek penambahbaikan rumah panjang.

Dalam bidang pendidikan, beliau berkata, seramai 1,916 pelajar daripada empat sekolah menengah menerima insentif kecemerlangan SPM, STPM dan UEC dengan jumlah peruntukan RM659,000.

Selain itu, seramai 205 pelajar tahun pertama universiti daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) menerima bantuan kewangan sekali beri berjumlah RM205,000.

Bagi aspek kebajikan dan kesihatan, sebanyak RM225,836.60 disalurkan kepada 243 penerima yang berdepan kesukaran kewangan dan masalah kesihatan, termasuk pesakit yang memerlukan rawatan kegagalan buah pinggang, katarak dan kanser.

Sebanyak RM5 juta turut diperuntukkan menerusi Program Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) bagi membantu 369 isi rumah membaiki dan menambah baik kediaman masing-masing.

Beliau turut memaklumkan bahawa sebanyak RM4.119 juta diperuntukkan menerusi Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) bagi melaksanakan 10 projek melibatkan lapan organisasi keagamaan di Bukit Assek.

Dalam usaha menangani masalah banjir, Chieng berkata, fasa pertama Projek Mitigasi Banjir Sentosa bernilai RM21.388 juta telah siap, manakala usaha mendapatkan pelaksanaan fasa kedua serta projek mitigasi banjir Kampung Saujana diteruskan.

Beliau turut menggesa pihak berkuasa mempercepat Projek Mitigasi Banjir Sibu Keempat bernilai RM120 juta yang dijangka melindungi kira-kira 618 hektar kawasan, termasuk beberapa lokasi di Bukit Assek.

Selain itu, beliau mencadangkan pembinaan jalan penghubung baharu dari bulatan Jalan Aman ke Jalan Tunku Abdul Rahman bagi menyediakan laluan alternatif dan membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Mengakhiri perbahasannya, Chieng berkata, Belanjawan Sarawak 2027 perlu terus memperkukuh pembangunan infrastruktur, mengurangkan risiko banjir, meningkatkan kestabilan bekalan air, menambah baik hubungan udara serta memperluas peluang ekonomi untuk rakyat.

Beliau menyatakan sokongan penuh terhadap Rang Undang-Undang Perbekalan (2027) 2026.

Oleh Shikin Mahmud