
PETRA JAYA: Isu capaian internet, kemudahan jalan raya, hospital dan bangunan sekolah antara perkara utama dibangkitkan dua wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam perbahasan usul penghargaan atas ucapan Yang di-Pertua Negeri di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Simon Sinang Bada (GPS-Tebedu) berkata, masalah capaian internet di kawasan Tebedu masih belum memuaskan walaupun beberapa projek naik taraf sedang dilaksanakan.

“Gangguan rangkaian dan liputan internet yang tidak stabil masih berlaku di beberapa kawasan sehingga menjejaskan akses rakyat kepada ekonomi digital dan pendidikan.
“Projek seperti Projek Telekomunikasi Luar Bandar Lembaga Multimedia Sarawak (SMART600), Multi Core Network dan naik taraf Rangkaian Jalur Lebar Luar Bandar Sarawak (MySRBN) di kawasan Tebedu diharap dapat membantu menyelesaikan masalah berkenaan,” katanya dalam sidang DUN di Kompleks DUN, hari ini.
Dalam masa sama, Simon turut menyentuh keperluan pembangunan infrastruktur luar bandar termasuk pembinaan jalan raya yang menghubungkan Tebedu ke kawasan Padawan melalui Kampung Temong, Kampung Tepoi hingga Kampung Sadir.
Katanya, kerajaan juga berjaya meningkatkan jaringan jalan raya di Tebedu sehingga kesemua 59 kampung kini dapat dihubungkan dengan jalan berturap.

Sementara itu, Billy Sujang (GPS-Opar) membangkitkan keperluan pembinaan jalan akses ke Jambatan Selampit serta projek naik taraf Jalan Bitokan-Selampit yang menurutnya penting untuk kemudahan penduduk di beberapa kampung sekitar kawasan itu.
“Keadaan jalan sedia ada yang sempit dan sering dinaiki air ketika musim hujan memberi kesan kepada keselamatan pengguna serta aktiviti harian penduduk,” jelasnya.
Selain itu, beliau turut membangkitkan isu bangunan sekolah uzur di Sekolah Kebangsaa (SK) Selampit, Lundu yang menurutnya tidak lagi sesuai digunakan dan memerlukan tindakan segera.
Katanya, faktor keselamatan pelajar perlu diberi perhatian terutama melibatkan struktur bangunan yang semakin uzur.
Dalam sektor kesihatan, Billy turut menggesa pembinaan Hospital Lundu yang baharu memandangkan hospital sedia ada telah berusia lebih 60 tahun dan tidak lagi mampu menampung keperluan semasa rakyat.
“Kemudahan kesihatan moden dan berkualiti juga perlu dinikmati penduduk luar bandar selaras dengan pembangunan negeri diteruskan secara berkesan menjelang 2030,” ujarnya.
Oleh Masrin Affirah