KUCHING: Sebanyak 92 stesen rangkaian 5G bersedia untuk memberi perkhidmatan pada akhir tahun ini, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi.
Katanya, lebih 500 stesen rangkaian 5G yang meliputi semua bandar utama seperti Kuching, Miri, Bintulu, dan Sibu dijangka beroperasi secara berperingkat sehingga akhir tahun depan.
“Bagi merealisasikan transformasi ekonomi digital di Sarawak, ketersediaan teknologi 5G di Sarawak sedang giat dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Digital Nasional Berhad (DNB).
“Pelaksanaan 5G di Sarawak telah bermula pada pertengahan tahun ini dengan jumlah pelaburan RM1 bilion untuk tempoh 10 tahun ,” katanya ketika menggulung perbahasan pada sidang Dewan Undangan Negeri hari ini.
Selain pelaksanaan 5G, Julaihi juga menjelaskan bahawa Kerajaan Persekutuan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang giat melaksanakan empat inisiatif utama di bawah pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di Sarawak.
Katanya, pembinaan sebanyak 835 menara baharu 4G yang telah diperuntukkan di Sarawak dengan 105 menara sudah beroperasi dan bakinya dijangka siap secara berperingkat sehingga suku keempat tahun depan.
“Selain itu antara inisiatif utama di bawah pelan tersebut ialah menaik taraf perkhidmatan 3G kepada 4G di 3,515 stesen pemancar yang terdapat pada menara sedia ada.
“Sebanyak 3,259 stesen pemancar telah siap dinaik taraf dan bakinya dijadual siap dan beroperasi secara berperingkat sehingga suku kedua 2023. Bagi memastikan penggunaan 4G secara optimum, pengguna dinasihatkan untuk memastikan peranti dan kad sim mereka adalah berpadanan dengan teknologi 4G dan tidak lagi berdasarkan teknologi 3G.
” Seterusnya, peluasan perkhidmatan gentian optik ke 121,736 premis kediaman dan perniagaan. Sebanyak 84,017 premis telah siap dengan penyambungan gentian optik manakala bakinya dijangka siap penghujung tahun ini.
“Inisiatif keempat pula ialah menyediakan akses capaian jalur lebar menerusi satelit di 523 lokasi di luar bandar dan telah beroperasi sepenuhnya,” katanya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT