Pelaksanaan MA63 penting perkukuh perpaduan nasional

Facebook
WhatsApp
FORUM Perpaduan Dalam Kepelbagaian: Dialog Mengenai Masa Depan Bersama Malaysia di Universiti HELP Damansara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu diberi perhatian dalam usaha memperkukuh perpaduan nasional, khususnya dalam menangani isu berkaitan perwakilan dan pembangunan Sabah serta Sarawak.

Perkara itu diketengahkan Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Aru, Datuk Junz Wong, pada forum Perpaduan Dalam Kepelbagaian: Dialog Mengenai Masa Depan Bersama Malaysia di Universiti HELP Damansara, 21 September lalu.

Menurut Wong, tuntutan Sabah dan Sarawak berkaitan MA63 adalah usaha mendapatkan semula perkara yang pada asalnya dipersetujui ketika pembentukan Malaysia.

“Kita cuba mendapatkan semula apa yang pada asalnya dipersetujui dan ditetapkan dalam perjanjian Malaysia untuk dikembalikan kepada kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menggesa Sabah dan Sarawak bekerjasama dalam perkara yang menjadi kepentingan bersama, termasuk berkaitan hak dan pembangunan ekonomi.

Forum anjuran Perikatan Pelajar Borneo itu turut menampilkan Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng, yang juga Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), serta Ketua Penganjur dan moderator, Telford Engan Tan.

Menjawab soalan peserta, Sng menyokong pemberian sebahagian kuasa kepada kerajaan negeri bagi membolehkan keperluan dan keadaan setempat diberi perhatian dalam pelaksanaan dasar serta pembangunan.

“Kita perlu menyerahkan sebahagian kuasa, tetapi bukan semua kuasa.

“Pendidikan, pelancongan dan kerajaan tempatan antara bidang yang boleh dipertimbang untuk dikongsi atau diserahkan sebahagian kuasanya kepada kerajaan negeri.

“Bagaimanapun, urusan hubungan luar, kepolisan dan angkatan tentera perlu kekal di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan,” jelasnya.

Dalam ucapan alu-aluan, Telford berkata Sabah dan Sarawak mempunyai kedudukan penting dalam pembentukan Malaysia dan suara masyarakat kedua-dua negeri perlu diberi perhatian dalam agenda nasional.

Beliau turut menekankan isu perwakilan, keadilan dan pembangunan sebagai antara perkara penting bagi Malaysia Timur.

Forum itu turut membincangkan cabaran pelajar luar bandar mendapatkan akses pembelajaran dalam talian ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), selain isu infrastruktur tempatan dan peranan perkhidmatan awam dalam melaksanakan dasar kerajaan.

Kedua-dua ahli panel turut menggalakkan golongan muda supaya lebih aktif dalam kehidupan awam serta memahami pandangan daripada pelbagai komuniti dan latar belakang.