PUTRAJAYA: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menggerakkan sebanyak 12,927 anggota bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027, termasuk memperkukuh kesiapsiagaan aset operasi darat, air dan udara di seluruh negara.
Pengarah Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi APM Mohd Adzhar Mujab berkata bagi operasi darat sebanyak 997 aset termasuk lori dan kenderaan pacuan empat roda (4×4) disediakan bagi memastikan pergerakan anggota, penghantaran bantuan dan operasi menyelamat dapat dilaksanakan dengan pantas, khususnya di kawasan yang terjejas akibat banjir.
“APM turut menyediakan 895 aset operasi air yang terdiri daripada bot bersaiz besar dan kecil bagi menghadapi kemungkinan peningkatan paras air serta keperluan pemindahan mangsa di kawasan yang dinaiki air.
“Bagi memperkukuh pemantauan, sebanyak 27 dron turut digunakan untuk mendapatkan gambaran keadaan di kawasan berisiko, sebelum, semasa dan selepas kejadian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Sinergi Media MADANI 2026 di sini hari ini, yang diadakan bagi memberikan maklumat awal kepada para pengamal media berhubung kesiapsiagaan APM menjelang MTL 2026/2027.
Beliau berkata MTL 2026/2027 dijangka berlaku hujung Oktober, bagaimanapun info rasmi hanya akan dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.
Mohd Adzhar berkata penugasan 12,927 anggota itu terbahagi kepada lima zon utama dalam negara, iaitu Zon Utara (1,757 anggota), Zon Tengah (2,210), Zon Selatan (1,703), Zon Timur (3,108) dan Zon Borneo sebanyak 4,149 anggota.
“Keseluruhan kesiapsiagaan itu mencerminkan pendekatan APM yang memberikan tumpuan kepada persediaan menyeluruh, bukan sahaja ketika bencana berlaku, tetapi juga melalui pemantauan dan tindakan awal di kawasan berisiko.
“Dengan kekuatan anggota serta aset yang tersedia, APM bersedia untuk digerakkan pada bila-bila masa bagi melaksanakan operasi menyelamat, pemindahan mangsa dan bantuan kecemasan sepanjang menghadapi MTL,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya APM Mohammad Abiddin Abd Rahman berkata bencana merupakan sesuatu yang tidak boleh dijangka dan persediaan awal perlu sentiasa dilakukan bagi memastikan keselamatan nyawa serta harta benda dapat dilindungi.
“Kita perlu bersedia pada bila-bila masa untuk menghadapi sebarang bencana. Dalam hal ini, APM bersama pihak media boleh memainkan peranan dalam menyampaikan maklumat mengenai persediaan awal dan langkah keselamatan kepada masyarakat.
“Melalui program bersama komuniti pula, kita mahu memastikan orang ramai sentiasa peka dan bersedia, termasuk mengetahui tindakan yang perlu diambil apabila agensi penyelamat tiba di lokasi,” katanya.
Beliau berkata pengalaman menghadapi kejadian bencana sebelum ini termasuk di Sabah, menunjukkan kepentingan persediaan awal dan kerjasama antara agensi penyelamat, media dan komuniti bagi mengurangkan risiko terhadap nyawa dan harta benda.
APM ialah agensi keselamatan dan bantuan kecemasan di bawah Jabatan Perdana Menteri, yang berperanan membantu masyarakat sebelum, semasa dan selepas bencana, kecemasan, krisis dan operasi menyelamat selaras Akta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia 1951 (Akta 221). – Bernama





