PETRA JAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) telah meluluskan 15 projek bernilai RM2.1 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-12 untuk menaik taraf kemudahan awam di kawasan ‘homestay’ atau inap desa.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan berkata, pendaftaran dan pengurusan program homestay adalah di bawah bidang MOTAC di peringkat Persekutuan.
Katanya, MOTAC komited untuk memperkukuh ekonomi luar bandar, terutamanya menerusi Program Pengalaman Homestay Malaysia.
“Projek-projek ini melibatkan peningkatan kemudahan awam di kawasan kluster homestay bagi memastikan kemudahan di kawasan pedalaman memenuhi standard yang memuaskan.
“Selain itu, kementerian saya turut melaksanakan program pembangunan komuniti bagi memperkukuh keupayaan dan kemahiran pengurusan dalam kalangan pengendali homestay dan komuniti setempat.
“Antara kursus yang dianjurkan adalah Latihan Asas Hospitaliti, Latihan Pemasaran dan Pemasaran Digital, Latihan Pengurusan Acara, Bengkel Pembuatan Kraf serta Latihan Kemahiran Keselamatan dan Menyelamat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dato Dennis Ngau (GPS-Telang Ulsan) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Snowdan turut menjelaskan bahawa sehingga September lalu, sebanyak 57 kluster homestay yang melibatkan 746 pengusaha serta dua kluster ‘Kampungstay’ dengan tiga pengusaha telah berdaftar di bawah MOTAC.
“Jumlah bilik yang disediakan dalam kluster homestay berdaftar kini mencecah 1,587 bilik, manakala kluster ‘Kampungstay’ menyediakan sebanyak 30 bilik.
“Berdasarkan rekod dari Januari hingga September 2024, pendapatan keseluruhan pengusaha inap desa di Sarawak telah mencecah RM4,951,504.25 dengan jumlah pengunjung seramai 41,168 orang,” katanya.
Snowdan bekata Majlis Kraf Sarawak (SCC) turut menganjurkan program peningkatan kapasiti untuk penggiat kraf tempatan merangkumi pemasaran digital dan pemeliharaan kemahiran tradisional.
“Intervensi ini bertujuan untuk meningkatkan kualiti produk, mempelbagaikan produk, dan menyesuaikan diri dengan permintaan pasaran,” katanya.
Oleh Mohd Neenatul Aizal