MIRI : Sebanyak dua tan bekalan makanan dihantar kepada mangsa banjir di Daerah Mulu , semalam.
Bekalan makanan itu dihantar dengan menggunakan pesawat jenis Agusta AW139 milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang berpengkalan di Pengkalan Operasi Udara Bomba Miri.
“JBPM Miri telah membantu kita menghantar bekalan makanan kepada mangsa-mangsa banjir di Mulu.
“Pagi ini (semalam) kita telah menghantar dua sortie bekalan makanan dengan masing-masingnya 500 kilogram bagi setiap sortie.
“Pada sebelah petang pula kita telah menghantar satu (1) tan lagi dengan bantuan penerbangan menggunakan pesawat yang sama.
“Jumlah keseluruhan penghantaran bantuan bekalan makanan pada hari ini (semalam) kepada mangsa banjir di Mulu yang bermula sejak jam 9.30 pagi adalah sebanyak dua tan,” demikian kata Menteri Bertanggungjawab bagi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri, Datuk Lee Kim Shin dalam satu kenyataan semalam selepas beliau menyaksikan persiapan penghantaran bekalan tersebut di Pengkalan Operasi Udara Bomba Miri, semalam.
Lee yang juga merupakan Menteri Pengangkutan Sarawak berkata, dengan bantuan pihak bomba maka semua bekalan makanan yang diperlukan mangsa banjir telah pun berjaya dihantar.
“Saya mewakili pihak JPBB Miri ingin merakamkan setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada bomba Miri atas bantuan membantu mangsa banjir,” katanya.
Sementara itu, Ketua JBPM Zon 6 Miri, Law Poh Kiong yang turut berada di lokasi menzahirkan ucapan terima kasih atas kerjasama JPBB Miri dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak.
Beliau memaklumkan bahawa pihak Bomba telah membantu membuat pemantauan udara selain melakukan penghantaran makanan kepada mangsa banjir.
Selain itu, Law turut melaporkan hasil tinjauan pada Ahad lalu yang mana banjir di kawasan Ulu Baram beransur surut dan telah mengalir ke hilir.
“Bagaimanapun, pemantauan di kawasan hilir Baram oleh pasukan bomba dengan menaiki bot pada petang Ahad mendapati bahawa ada peningkatan paras air sungai namun masih lagi terkawal,”ujarnya.
Oleh LIONG CHAI LING