
KUCHING: Dua rumah musnah sepenuhnya manakala sebuah lagi mengalami kerosakan kira-kira lima peratus dalam kebakaran di Lorong 17A, Lot 1373, Kampung Sinar Budi Baru, di sini, pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 10.04 pagi sebelum menggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang dengan bantuan BBP Kota Sentosa ke lokasi.

Setibanya di lokasi pada 10.14 pagi, pasukan bomba mendapati kebakaran melibatkan tiga buah rumah berukuran kira-kira 40 x 40 kaki persegi.
Dua daripadanya terbakar 100 peratus, manakala sebuah lagi hanya mengalami kerosakan sekitar lima peratus.
Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran breaching dan dua nozel dari bahagian hadapan, manakala pasukan bantuan BBP Kota Sentosa melakukan pemadaman dari bahagian belakang menggunakan satu aliran hos sepanjang 200 kaki dengan sumber air diperoleh daripada pili bomba berhampiran.
Api berjaya dikawal pada 10.42 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 11.08 pagi selepas pemeriksaan mengesahkan lokasi selamat dan tiada lagi punca yang boleh menyebabkan kebakaran merebak.

Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut.
Rumah milik Anis Mat yang terlibat didiami lapan penghuni, manakala sebuah lagi rumah tidak berpenghuni ketika kejadian.
Operasi membabitkan 21 anggota bomba bersama dua jentera Jentera Pemadam Kebakaran dan Penyelamat (FRT), sebuah Kenderaan Tindak Balas Pantas (RRV) dan sebuah Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS).
Turut berada di lokasi ialah Sarawak Energy (SESCO) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Oleh Norman B





