
KUCHING: Suasana malam di Jalan Astana bertukar tragis apabila dua penunggang motosikal maut selepas merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipercayai membelok secara mengejut, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuching, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kemalangan berlaku sekitar 11.00 malam ketika kedua-dua mangsa, masing-masing berusia 31 dan 32 tahun, menunggang motosikal sebelum bertembung dengan kenderaan SUV tersebut.
“Akibat perlanggaran itu, kedua-dua mangsa tercampak ke tengah jalan.
“Pembonceng motosikal maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala, manakala penunggang motosikal meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, pemandu SUV terbabit telah ditahan untuk membantu siasatan, dengan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan hingga menyebabkan kematian.