MIRI : Dua lelaki maut dalam kemalangan berasingan di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, kemalangan pertama berlaku sekitar jam 4.30 petang di Jalan Pan Borneo yang melibatkan dua kenderaan iaitu sebuah Proton Iswara dengan sebuah motorsikal.
“Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku semasa kenderaan Proton Iswara yang dipandu oleh lelaki berumur 50 tahun telah membuat pusingan P (P-Turn).
“Setelah membuat pusingan, kenderaan tersebut telah dilanggar oleh sebuah motorsikal yang ditunggang oleh seorang perempuan berumur 31 tahun yang datang dari arah Bintulu ke Miri.
“Akibat kemalangan itu, penunggang motorsikal mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan telah disahkan meninggal dunia pada jam 8.50 malam semasa menerima rawatan di Hospital Miri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam satu lagi kemalangan, Alexson berkata, ia melibatkan sebuah kenderaan jenis Proton Pesona dengan seorang pejalan kaki di KM805.1 Jalan Miri Bintulu sekitar jam 5.30 petang.
“Hasil siasatan mendapati semasa pemandu kenderaan Proton Pesona yang dipandu oleh seorang lelaki berumur 52 tahun tiba di tempat kejadian, pemandu telah melihat seorang lelaki melintas jalan namun telah berpatah balik dan tidak sempat untuk mengelak pejalan kaki tersebut lalu melangggarnya.
“Kesan kemalangan tersebut mengakibatkan mangsa yang berusia 41 tahun telah mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu kenderaan tidak mengalami kecederaan,” katanya.
Alexson berkata, berdasarkan kedua-dua laporan polis tersebut, pihak polis telah membuka kertas siasatan dan disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.