

DIRAMPAS… Antara dadah yang dirampas daripada kedua-dua suspek.
MIRI: Dua lelaki tempatan dipercayai pengedar dadah ditahan dalam dua serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, hasil risikan pegawai dan anggotanya daripada sepasukan pegawai dan anggota Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dan CPJ Balai Polis Pusat Miri membawa kepada serbuan pertama melibatkan seorang lelaki di tepi jalan Kampung Lusut sekitar 10.00 malam.
“Semasa melakukan pemeriksaan di tempat kejadian tersebut, pasukan serbuan telah menjumpai dan merampas barang disyaki dadah jenis Methamphetamine berjumlah 50.10 gram dianggarkan jumlah bernilai RM5,511,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Alexson berkata, serbuan kedua membawa penahanan seorang lelaki di Jalan Hokkien, 10.20 malam.
“Kita juga menemui pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM19,767 iaitu dadah jenis Methamphetamine, Ketamine dan Erimin 5 berjumlah 161.51 gram,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 3 April ini untuk siasatan lanjut.
Kedua-dua kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau jika tidak dihukum mati, boleh dipenjara seumur hidup dan dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali.
Pihak Polis juga ingin menasihati orang awam yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyalahgunaan dadah ini untuk segera melaporkannya ke Balai Polis berhampiran agar aktiviti ini dapat dibendung dan dibanteras bersama.
Oleh Liong Chai Ling