LAWAS: Polis Lawas menerima laporan berhubung kematian seorang bayi lelaki yang baharu dilahirkan di Sundar, Lawas, pada 1.23 pagi kelmarin.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan berkata, laporan itu dibuat oleh seorang doktor yang bertugas di Hospital Lawas selepas pihak hospital menerima bayi berkenaan yang dibawa oleh keluarganya pada 10.00 malam.
“Pihak hospital mendapati bayi berkenaan tidak menunjukkan sebarang pergerakan. Usaha menyelamatkan bayi itu telah dilakukan, namun bayi berkenaan masih tidak bergerak sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Doktor yang merawat bayi berkenaan kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Susulan laporan itu, polis membuka kertas siasatan, manakala mayat bayi berkenaan ditempatkan di bilik mayat Hospital Lawas sementara menunggu bedah siasat.
Siasatan awal polis mendapati bayi berkenaan baharu dilahirkan sebelum diserahkan kepada keluarga angkat, dipercayai atas alasan ibu bayi itu merupakan warga asing.
Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). Polis akan mengesan ibu bayi itu bagi membantu siasatan, selain merakam percakapan semua saksi yang berkaitan.
Pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kes berkenaan supaya segera tampil untuk membantu siasatan pihak polis.
Oleh Adeng Edrus




