Jangan mudah percaya, semak sebelum buat transaksi

Facebook
WhatsApp
POLIS IPD Meradong bergambar bersama orang ramai di Gereja Methodist Iban Pasar. Foto IPD Meradong

BINTANGOR: Masyarakat diingatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran, panggilan atau mesej mencurigakan, sebaliknya membuat semakan terlebih dahulu sebelum melakukan transaksi kewangan bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering berkata, perkembangan teknologi dan penggunaan platform digital telah menyebabkan modus operandi jenayah komersil semakin pelbagai dan sukar dikesan sekiranya masyarakat tidak mengambil langkah berjaga-jaga.

Katanya, sikap terburu-buru membuat pembayaran atau menyerahkan maklumat peribadi tanpa pengesahan boleh membuka ruang kepada penjenayah mengambil kesempatan.

“Orang ramai perlu sentiasa berwaspada dan jangan mudah percaya dengan sebarang panggilan, mesej atau tawaran yang mencurigakan. 

“Buat semakan dan pengesahan terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan program Ceramah Jenayah Komersial dan Jenayah Narkotik anjuran Gereja Methodist Iban Pasar Bintangor dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong.

Program tersebut dikendalikan menerusi Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Meradong sebagai usaha meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai jenayah yang semakin membimbangkan.

Tambahnya, pendedahan secara berterusan kepada masyarakat amat penting kerana taktik sindiket penipuan sentiasa berubah, termasuk menggunakan pelbagai platform komunikasi dan media sosial untuk memperdaya mangsa.

Pada masa sama, katanya, masyarakat khususnya ibu bapa dan golongan belia perlu memahami bahaya penyalahgunaan dadah serta implikasinya bukan sahaja terhadap kesihatan, malah keluarga dan masa depan individu.

“Program tersebut memberi penerangan mengenai trend dan modus operandi terkini jenayah komersial, selain memperkenalkan fungsi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dalam menangani kegiatan penipuan.

“Peserta turut diberikan pendedahan mengenai kesalahan berkaitan dadah serta peruntukan undang-undang berkaitan penyalahgunaan bahan terlarang.

“Selain sesi ceramah, risalah mengenai jenis-jenis jenayah semasa turut diedarkan kepada peserta, diikuti sesi soal jawab yang memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan penjelasan secara terus daripada pihak polis,” katanya.

Tansli turut menggalakkan orang ramai memanfaatkan kemudahan pencegahan jenayah yang tersedia termasuk menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997, menggunakan aplikasi Whoscall dan membuat semakan menerusi Portal Semak Mule atau CCID Check.

Katanya, masyarakat juga disaran mengikuti saluran rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan JSJK bagi mendapatkan maklumat serta amaran terkini mengenai taktik penipuan yang dikesan.

“Kerjasama masyarakat amat penting dalam membantu pihak polis membendung jenayah komersil dan penyalahgunaan dadah, termasuk dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan,” katanya.

Oleh Earl Anek