SIBU: Dua lelaki tempatan masing-masing berumur 18 tahun ditahan dalam Operasi Bersepadu Samseng Jalanan di sekitar Taman Permai, Jalan Bujang Suntong dan Jalan Ramli Amit.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, kedua-kedua mereka ditahan kerana telah melakukan kesalahan dibawah Sek.42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Menurutnya, operasi yang bermula jam 5 petang semalam hingga 3 pagi tadi dijalankan oleh sepasukan anggota polis trafik dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sibu.
“Dalam operasi tersebut, seramai lapan orang lelaki tempatan telah diperiksa dan 26 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
“Antaranya ialah kesalahan tiada lesen memandu, ubahsuai struktur, ubahsuai ekzos, tiada cermin sisi, nombor plet fancy, tiada plet nombor, lesen kenderaan motor tamat tempoh dan eksesori tidak sempurna,” katanya menerusi siaran media, hari ini.
Zulkipli berkata turut ditahan ialah lima motosikal untuk tujuan dokumentasi.
“Pihak polis menasihatkan orang awam supaya mematuhi undang-undang jalan raya.
“Ibubapa juga disaran supaya pantau dan peka dengan aktiviti anak mereka agar tidak terlibat dalam kegiatan yang menyalahi undang-undang,” katanya.