
PETRA JAYA: Bandar raya Miri bakal bertransformasi menjadi pentas hiburan bertaraf antarabangsa apabila dua konsert mega dijadual berlangsung bulan depan yang dijangka menarik ribuan pengunjung dari dalam dan luar negara.
Konsert MeleTOP TVS akan membuka tirai kemeriahan pada 17 Mei 2025 bertempat di Stadium Tertutup Miri, manakala Konsert Berkat Gawai–Kaamatan pula menyusul pada 21 Mei 2025 dengan kemunculan istimewa Ratu Rock negara, Ella.
Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, acara berskala besar seperti ini bukan sahaja menghidupkan industri hiburan, malah memberi lonjakan ketara kepada ekonomi setempat.
“Setiap kali kita anjurkan konsert berskala besar, kita menyaksikan kehadiran pelawat bukan sahaja dari pelusuk negara, tetapi juga dari negara jiran seperti Brunei dan Kalimantan.
“Mereka datang bukan sekadar menikmati persembahan, tetapi turut berbelanja untuk penginapan, makanan, kraftangan dan perkhidmatan pelancongan tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Konsert MeleTOP TVS dan Konsert Gawai-Kaamatan di sini, hari ini.
Ujarnya lagi, kedua-dua konsert ini dianjurkan secara percuma, sekali gus dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan perniagaan kecil dan sederhana di Miri, terutamanya dalam sektor pelancongan dan perkhidmatan.
Menambah signifikan penganjuran kali ini ialah kerjasama julung kali antara dua nama besar industri penyiaran tanah air iaitu TVS dan Astro dengan program MeleTOP buat pertama kalinya dibawa keluar dari Semenanjung.
Barisan artis popular tanah air seperti Dayang Nurfaizah, Hael Husaini, Stacy, Dolla, Floor 88, Namie dan ramai lagi dijangka menggamatkan pentas Konsert MeleTOP TVS.
Konsert Berkat Gawai–Kaamatan bakal mempersembahkan gabungan hebat seni suara serantau dengan kemunculan Ella, Bob Yusof, Ramles Walter, Dabra Sia, Velvet Aduk, Roxy Ixzy, SMDX dan Marina Jara dari Kalimantan. Konsert ini akan bermula pada 7.30 malam dan akan ditayangkan menerusi TVS pada 31 Mei 2025, 9.00 malam.
Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TVS, Mohamad Sardon Zainal berkata, pemilihan Miri sebagai lokasi penganjuran adalah bersesuaian dengan kedudukannya yang strategik sebagai pintu masuk ke utara Sarawak, Brunei dan Kalimantan.
“Dengan sambutan ulang tahun ke-20 Miri yang semakin hampir, inilah masa terbaik untuk mengangkat bandar raya ini sebagai destinasi utama sambutan budaya dan hiburan berprestij,” katanya.
Turut hadir Penolong Naib Presiden Kandungan Tidak Skrip, Gen Next Astro, Elyna Rahmat.
Kedua-dua konsert ini boleh ditonton secara langsung di TVS (Saluran 122 di Astro, MYTV & Unifi TV), Astro ONE dan platform penstriman Sooka.
Rynna Sha’erra