Dua kenderaan musnah dalam kebakaran garaj di Sungai Tapang

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA bomba menjalankan operasi memadam kebakaran membabitkan dua kenderaan di dalam sebuah garaj di Lorong Sungai Tapang 4, Batu 7, Kuching, malam ini. Foto JBPM

KUCHING: Dua kenderaan musnah dalam kebakaran membabitkan sebuah garaj di Lorong Sungai Tapang 4, Batu 7, di sini malam ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 8.16 malam.

“Kebakaran melibatkan dua kenderaan yang tersadai di dalam sebuah garaj berkeluasan kira-kira lima meter lebar dan 10 meter panjang.

DUA kenderaan yang musnah dalam kebakaran sebuah garaj di Lorong Sungai Tapang 4, Batu 7, Kuching, malam ini. Foto JBPM

“Garaj berkenaan terbakar 100 peratus, namun tiada mangsa dilaporkan terlibat,” kata Komander Operasi, PBK I Mohd Norarbi Jamain dalam satu kenyataan, malam ini.

Menurutnya, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Sentosa menggunakan dua aliran salur bantu mula bagi menjalankan operasi pemadaman.

BBP Batu Lintang turut dikerahkan ke lokasi bagi membantu membekalkan sumber air untuk operasi berkenaan. Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya dan operasi tamat pada 8.55 malam.