
KUCHING: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak menyita dua kenderaan mewah dalam Ops Luxury yang dilaksanakan di sekitar bandar raya Kuching semalam.
Dalam satu kenyataan, JPJ Sarawak memaklumkan bahawa Unit Operasi JPJ Kuching telah menjalankan rondaan penguatkuasaan di beberapa lokasi sebelum mengadakan pemeriksaan statik di Jalan Sherip Masahor.
Semasa operasi tersebut, sebuah Toyota Alphard dan sebuah Mercedes GLC 200 telah ditahan untuk pemeriksaan. Hasil semakan lanjut mendapati Lesen Kenderaan Motor (LKM) serta perlindungan insurans bagi kedua dua kenderaan itu telah tamat tempoh.
Susulan itu, tindakan sitaan telah diambil terhadap kedua dua kenderaan berkenaan mengikut peruntukan undang undang yang berkuat kuasa.

JPJ Sarawak menegaskan bahawa kenderaan mewah dan bernilai tinggi tidak terkecuali daripada pematuhan undang undang jalan raya.
Menurutnya, status, jenama atau harga sesebuah kenderaan tidak mengatasi tanggungjawab pemilik untuk memastikan semua dokumen berkaitan sentiasa sah dan diperbaharui mengikut tempoh yang ditetapkan.
Pemilik kenderaan diingatkan supaya sentiasa menyemak status Lesen Kenderaan Motor dan perlindungan insurans masing masing sebelum menggunakan kenderaan di jalan raya.
Menurut JPJ Sarawak, kegagalan berbuat demikian bukan sahaja menyalahi undang undang malah boleh menjejaskan perlindungan dan keselamatan sekiranya berlaku sebarang insiden yang tidak diingini.
JPJ Sarawak turut menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan tahap pematuhan undang undang jalan raya sentiasa dipelihara demi keselamatan semua pengguna jalan raya.
Oleh Connie Chieng