BETONG: Amanah kepimpinan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong terus diperkasa menerusi pertukaran tanggungjawab bagi dua jawatan penting dalam satu Majlis Serah Terima Tugas yang berlangsung semalam.
Majlis membabitkan jawatan Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Betong serta Inspektor Pelesenan Daerah Betong, sekali gus memperlihatkan kesinambungan kepimpinan dan pengurusan tugas dalam pasukan polis.
Majlis yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Pusat Kawalan Daerah, IPD Betong itu disaksikan Ketua Polis Daerah Betong, DSP Wan Mohamad Ali Wan Malek, serta dihadiri 21 pegawai dan anggota polis terdiri daripada pegawai kanan dan pegawai rendah polis.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa sebelum serah terima tugas jawatan Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Betong daripada Inspektor Mohd Hadi Yasin selaku penyerah kepada Sarjan Nibul Bruen, Penolong Pegawai Penyiasat Trafik selaku penerima.
Peralihan berkenaan dilihat penting bagi memastikan aspek penguatkuasaan undang-undang, keselamatan jalan raya, pengurusan trafik serta siasatan kesalahan lalu lintas di daerah berkenaan terus dilaksanakan dengan berkesan.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan serah terima tugas jawatan Inspektor Pelesenan Daerah Betong daripada Inspektor Hashim Abdullah selaku penyerah kepada Inspektor Mohd Hadi Yasin selaku penerima.
Pertukaran tanggungjawab itu turut disaksikan oleh DSP Wan Mohamad Ali, yang menekankan kepentingan kesinambungan tugas dan komitmen setiap warga pasukan dalam memastikan operasi serta perkhidmatan kepada masyarakat tidak terjejas.
Kedua-dua pegawai yang menyerahkan tanggungjawab masing-masing turut menyampaikan ucapan sebelum Ketua Polis Daerah Betong memberikan amanat kepada seluruh warga IPD Betong.
Dalam amanatnya, DSP Wan Mohamad Ali merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada Inspektor Mohd Hadi Yasin serta Inspektor Hashim Abdullah atas jasa bakti, komitmen dan sumbangan yang telah dicurahkan sepanjang menjalankan tanggungjawab masing-masing.
Beliau turut menegaskan bahawa setiap pertukaran jawatan perlu dilihat sebagai satu amanah baharu yang menuntut tahap profesionalisme, integriti dan kecekapan tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab yang diberikan.
Majlis tersebut bukan sekadar simbolik pertukaran jawatan, sebaliknya menjadi manifestasi kesinambungan kepimpinan IPD Betong dalam memastikan setiap tugasan dapat dilaksanakan secara teratur, cekap dan berintegriti demi keselamatan serta kesejahteraan masyarakat.
Dengan penyusunan semula tanggungjawab itu, IPD Betong terus komited memperkukuh keupayaan warga pasukan, meningkatkan profesionalisme serta memastikan amanah kepolisan dilaksanakan dengan penuh dedikasi demi kepentingan masyarakat dan keselamatan awam.
Oleh Adi Safarman




