JOHOR BAHRU: Dua individu dipanggil bagi membantu siasatan berhubung kes penemuan rangka mayat seorang wanita yang telah reput ditemukan di dalam sebuah bagasi di kios perhentian bas terbiar berhadapan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kulai pada 12 April lepas.
Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, individu terlibat ialah pemberi maklumat mengenai penemuan mayat tersebut dan yang membuat laporan polis.
“Kita masih menunggu keputusan daripada pihak hospital dan mungkin ia memerlukan masa. Masih belum dapat ‘petunjuk’ yang memudahkan siasatan.
“Melainkan tiada kesan suntikan bacillus calmette-guerin (BCG) ditemukan pada mayat yang memungkinkan mangsa adalah warga asing, namun itu pun belum tentu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor 2023 di sini, malam tadi.
Pada 13 April lepas, Ketua Polis Daerah Kulai Supt Tok Beng Yeow dilapor berkata, wanita berkenaan dianggarkan berusia 25 tahun ke atas dan telah meninggal dunia sejak dua minggu lepas, selain terdapat kecederaan di kepala.
Sementara itu, Kamarul Zaman berkata kira-kira 8,000 pegawai dan anggota polis Johor akan bertugas sepanjang tempoh perayaan Aidilfitri termasuk di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri.
Beliau berkata, penugasan polis sempena Aidilfitri ini melibatkan kawalan dan pemantauan di kawasan ‘hotspot’ berlaku kesesakan dan kemalangan termasuk di 24 sekatan jalan raya (SJR) di sebelah malam.
“Seramai 326 anggota ditempatkan di BSI, manakala 30 anggota di KSAB. Di KSAB jumlah anggota tidak ramai kerana keadaan di situ tidak terlalu sesak.
“Kita juga bekerjasama dengan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah untuk meletakkan satu team cross di setiap daerah supaya boleh bertindak jika sesuatu berlaku tidak kira kemalangan, pecah rumah atau samun, jadi team ini akan digerakkam 24 jam,” katanya. – Bernama