MIRI, 9 Oktober: Dua ekor buaya berjaya ditangkap dalam operasi di Tasik Senadin, di sini, selepas penduduk berhampiran melahirkan kebimbangan terhadap keselamatan mereka susulan kehadiran reptilia itu di tasik berdekatan kawasan perumahan.
Menurut Eric Cat menerusi hantaran di Facebook, operasi itu dijalankan oleh Team Eric Cat dengan kerjasama Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) susulan permintaan penduduk setempat.
“Penangkapan dua ekor buaya itu bertujuan mengurangkan risiko ancaman terhadap penduduk, terutama kanak-kanak yang tinggal berhampiran kawasan tasik berkenaan,” katanya.
Penduduk turut dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengelakkan aktiviti berhampiran kawasan yang dikenal pasti mempunyai kehadiran buaya demi keselamatan bersama.
Oleh Liong Chai Ling




