Dua ditahan, dadah RM412,351 dirampas di Sibu

Facebook
WhatsApp
RAMPASAN... Dadah bernilai RM412,351 dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Gambir semalam.

SIBU: Polis menahan dua suspek termasuk wanita tempatan berusia 21 tahun, serta merampas dadah bernilai RM412,351 dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Gambir, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata kedua-dua suspek ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu, kira-kira 5.00 petang.

Katanya, hasil pemeriksaan di rumah berkenaan menemukan 840 papan keranjang timah berwarna merah dan perak, yang setiap satunya mengandungi 10 biji pil disyaki dadah jenis Erimin 5.

“Jumlah keseluruhan rampasan ialah 8,400 biji pil dengan anggaran berat kasar 2,677.46 gram.

“Polis turut merampas enam bungkusan kertas berwarna hitam yang mengandungi bungkusan kertas berwarna biru. Setiap bungkusan berkenaan mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis ketamine dengan anggaran berat kasar 2,891.81 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

DITAHAN… Dua suspek termasuk wanita tempatan berusia 21 tahun dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Gambir, Sibu, semalam.

Menurutnya, kedua-dua suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau kini direman selama lima hari bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang, jika sabit kesalahan, memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup.

Sementara itu, kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali, selain pengawasan selama dua tahun di bawah Seksyen 38B ADB 1952.

PDRM, khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), akan terus mempertingkatkan tindakan bagi membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

Sehubungan itu, polis mengalu-alukan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan dadah supaya tampil menyalurkan maklumat melalui talian hotline JSJN Bukit Aman di 012-2087222 atau JSJN Sarawak di 017-59292211.

Oleh Akun Giman

Polis buru suspek samun bank di Bintulu

BINTULU: Polis sedang menjalankan siasatan bagi mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian samun di sebuah bank di daerah ini kira-kira