Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Dr Sim sifatkan hubungan rakyat pelaburan terbaik Sarawak-China
  • TEMPATAN

Dr Sim sifatkan hubungan rakyat pelaburan terbaik Sarawak-China

Utusan Sarawak 5 hours ago
DATUK Amar Dr. Sim Kui Hian berucap pada majlis pelancaran eCITRA Antarabangsa: Edisi China 2026 – Pameran Semangat Kuda dan Burung Kenyalang di FSGK, Unimas. 

KOTA SAMARAHAN: Hubungan erat antara Sarawak dan China perlu terus diperkukuh melalui pertukaran budaya, pendidikan serta hubungan rakyat dengan rakyat yang mampu memberi manfaat jangka panjang kepada kedua-dua pihak.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, penganjuran eCITRA Antarabangsa: Edisi China 2026 – Pameran Semangat Kuda dan Burung Kenyalang bukan sekadar pameran seni, malah menjadi platform memperkukuh persahabatan serta kerjasama antara Sarawak dan China.

“Hubungan yang terjalin selama lebih lima dekad antara Malaysia dan China perlu diteruskan melalui pelbagai inisiatif termasuk kerjasama institusi pengajian tinggi, pertukaran budaya dan pembangunan modal insan.

PROFESOR Wang Yao berucap pada majlis pelancaran eCITRA Antarabangsa: Edisi China 2026 – Pameran Semangat Kuda dan Burung Kenyalang di FSGK, Unimas. 

“Kita bukan sahaja mahu menghantar rakyat Sarawak ke institusi terbaik dunia, malah mahu membawa bakat terbaik dunia ke Sarawak kerana kita juga mempunyai banyak perkara untuk ditawarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis pelancaran pameran itu di Panggung Eksperimen, Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK), Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), hari ini.

Tambah beliau, kerjasama pendidikan merupakan antara pelaburan paling bernilai kerana manfaatnya dapat dinikmati dalam tempoh yang panjang menerusi hubungan rakyat dengan rakyat.

“Inisiatif seperti Biasiswa Duta China untuk pelajar mobiliti mampu memperkukuh persefahaman serta membuka lebih banyak peluang kerjasama antara kedua-dua negara pada masa hadapan.

“Saya juga turut memuji usaha Unimas memperluaskan jaringan antarabangsa melalui kerjasama dengan institusi luar negara, sambil menyifatkan universiti berperanan penting dalam melahirkan generasi yang mampu menjadi jambatan hubungan antarabangsa.

“Ketika ini kira-kira 360 pelajar dari China mengikuti pengajian di Unimas sama ada secara fizikal mahupun dalam talian, sekali gus menyumbang kepada pengukuhan hubungan akademik dan budaya antara Sarawak dan China,” jelasnya.

SIMBOLIK penyerahan Biasiswa Duta China kepada pelajar yang disaksikan oleh Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian pada majlis pelancaran eCITRA Antarabangsa: Edisi China 2026 – Pameran Semangat Kuda dan Burung Kenyalang di FSGK, Unimas. 

Sementara itu, Naib Presiden Kolej Vokasional dan Teknikal, Universiti Pertanian Mongolia Dalam (VTC-IMAU), Profesor Wang Yao berkata, seni merupakan medium yang merentasi sempadan serta mampu menyatukan masyarakat daripada latar belakang budaya yang berbeza.

“Tema Semangat Kuda dan Burung Kenyalang menggabungkan simbol kuda yang melambangkan kebebasan, ketabahan dan semangat masyarakat Mongolia Dalam dengan burung kenyalang yang menjadi lambang kemuliaan, keharmonian serta kepelbagaian budaya Sarawak.

“Pameran ini bukan sahaja mengetengahkan hasil karya pensyarah dan graduan VTC-IMAU, malah menjadi platform memperkukuh kerjasama institusi melalui pertukaran pelajar dan pensyarah, seminar akademik, pembangunan kurikulum serta projek seni bersama pada masa depan,” ujarnya.

PERTUKARAN cenderamata sempena majlis pelancaran eCITRA Antarabangsa: Edisi China 2026 – Pameran Semangat Kuda dan Burung Kenyalang di FSGK, Unimas. 

Untuk rekod, pameran eCITRA Antarabangsa: Edisi China 2026 – Pameran Semangat Kuda dan Burung Kenyalang menghimpunkan 52 karya seni membabitkan 23 hasil karya Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif, Unimas serta 29 karya daripada VTC-IMAU, China dengan sokongan Petronas.

Majlis turut menyaksikan penyerahan simbolik Biasiswa Duta China kepada pelajar mobiliti, penyampaian sijil kepada peserta pameran, pertukaran cenderamata serta lawatan ke galeri seni sebagai simbol komitmen berterusan kedua-dua institusi dalam memperkukuh hubungan antarabangsa melalui seni dan pendidikan.

Oleh Masrin Affirah

Continue Reading

Previous: BARIS’26 platform lahir generasi pencipta ilmu, perkukuh budaya membaca
Next: Kerjasama awam swasta perkukuh pengurusan fasiliti Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.