BANGKOK, 30 Oktober: Pakar perubatan Malaysia Dr Mary Suma Cardosa mencipta sejarah sebagai individu pertama dari Asia menjadi Presiden International Association for the Study of Pain (IASP) sejak penubuhan organisasi itu lebih 50 tahun lalu.
Cardosa memulakan tempoh jawatan presiden selama dua tahun sehingga 2028 pada majlis penutupan Kongres Kesakitan Sedunia 2026 di Bangkok hari ini, menggantikan Andrew Rice dari United Kingdom.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan IASP, beliau berkata kepimpinannya akan memberi tumpuan kepada usaha memajukan sains kesakitan, memperkukuh pendidikan penjagaan kesihatan serta meningkatkan akses kepada pengurusan kesakitan yang berkesan di seluruh dunia.
“Kesakitan menjejaskan penduduk di setiap negara, namun akses kepada rawatan kesakitan yang berkesan masih sangat tidak seimbang,” katanya sambil menekankan kepentingan pendidikan, perkhidmatan klinikal yang lebih kukuh serta kerjasama pelbagai disiplin.
Sebagai pakar bius yang mempunyai pengalaman lebih tiga dekad dalam bidang perubatan kesakitan, Cardosa memainkan peranan penting dalam pembangunan perkhidmatan pengurusan kesakitan di Malaysia serta memperkukuh pendidikan berkaitan kesakitan di negara ini dan seluruh Asia Tenggara.
Antara sumbangan beliau termasuk menubuhkan perkhidmatan pengurusan kesakitan akut pertama Kementerian Kesihatan pada 1993 dan klinik kesakitan pelbagai disiplin pertama negara pada 2000.
Beliau turut menerajui inisiatif Hospital Bebas Kesakitan Malaysia yang dilancarkan pada 2011 bagi meningkatkan pengenalpastian dan pengurusan kesakitan di kemudahan penjagaan kesihatan.
Cardosa sebelum ini turut mencipta sejarah pada 2011 apabila menjadi wanita pertama dilantik sebagai Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).
Di luar Malaysia, Cardosa menyumbang kepada pelbagai inisiatif serantau dan antarabangsa untuk memperluas keupayaan perkhidmatan rawatan kesakitan, termasuk melatih profesional penjagaan kesihatan serta menyokong pembangunan perkhidmatan pelbagai disiplin di negara yang mempunyai sumber terhad.
Sebagai Presiden IASP, beliau akan mengetuai usaha global persatuan itu untuk memajukan penyelidikan kesakitan dan menterjemahkan pengetahuan saintifik kepada penjagaan pesakit yang lebih baik, di samping melaksanakan Pelan Strategik 2026-2030 organisasi berkenaan.
IASP merupakan organisasi antarabangsa terkemuka yang memberi tumpuan kepada kajian kesakitan dan penerapan pengetahuan saintifik bagi meningkatkan kelegaan kesakitan di seluruh dunia.
Persatuan itu menghimpunkan saintis, pakar klinikal, profesional penjagaan kesihatan dan penggubal dasar untuk memajukan penyelidikan, pendidikan serta rawatan kesakitan. – Bernama





