KUCHING: Penyandang kerusi Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi menzahirkan terima kasih kepada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), atas kepercayaan mencalonkannya semula.
Beliau berkata, ini membolehkannya bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Igan sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), 19 November nanti.
“Saya berikrar tidak akan mensia-siakan kepercayaan yang diberikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta pucuk kepemimpinan PBB untuk meneruskan agenda pembangunan yang diperjuangkan oleh PBB dan GPS selama ini.
“Sebagai calon Parlimen P207 Igan, saya akan memperjuangkan hak-hak Sarawak sebab semakin besar suara wakil Parlimen GPS di Dewan Rakyat, semakin baik khususnya desakam mengembalikan hak yang terhakis dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Setelah selama satu penggal berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Igan, banyak telah saya pelajari dalam menempuhi pelbagai rintangan dan kemelut politik yang melanda negara sejak Barisan Nasional (BN) kalah dalam PRU-14,” katanya selepas diumumkan pengumuman calon GPS oleh Pengerusi GPS di Ibu Pejabat Parti PBB, Jalan Bako, di sini hari ini.
Dengan menaruh komitmen lebih tinggi, bersama-sama pemimpin GPS Sarawak, beliau akan terus menyuarakan hasrat dan suara rakyat Sarawak di Parlimen untuk mengembalikan hak Sarawak seperti termaktub dalam MA63, dengan slogan ‘Sarawak Diutamakan’ yang diperjuangkan oleh GPS.
“Begitu juga dengan hasrat perjuangan Premier Sarawak yang mahu menjadikan Sarawak negeri berpendapatan tinggi dan maju menjelang 2030. Kita akan terus menetapkan perjuangan ini sebagai landasan utama perjuangan pemimpin dari Sarawak.
“Bersama-sama kita membangunkan Sarawak sebagai satu ‘Keluarga Malaysia’. Secara peribadi, saya mendapati Premier Sarawak dengan 120 inisiatif telah meletakkan Sarawak di landasan yang betul.
“Perjuangan inilah yang harus rakyat Sarawak dukung bersama-sama. Utamakan Sarawak, Jaga Sarawak dan Intu Sarawak,” tegas beliau.