LAWAS: Keperluan membina baru Dewan Masyarakat Kampung Pemukat Kuala Lawas akan dipertimbang untuk rancangan jangka panjang.
Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong berkata setakat ini peruntukan telah dilulus untuk kerja naik taraf Dewan Masyarakat Kampung Pemukat yang sedia ada.
Selain itu, keperluan untuk pembesaran dan menurap semula jalan Kampung Pemukat juga akan diusahakan.
“Memang kita sudah melihat keadaan jalan raya yang sempit dan rosak di Kampung Pemukat ini.
Kita akan usaha untuk membesarkan jalan selain menurap semula jalan raya yang rosak,”katanya semasa lawatan kerja ke Kampung Pemukat Kuala Lawas hari ini.
Semasa lawatan itu, Henry Sum turut menyaksikan penyerahan sumbangan dari Pejabat Pembangunan Sarawak (SDO) kepada mangsa kebakaran di kampung berkenaan.
“Hari ini pihak SDO datang membawa replika cek kepada keluarga mangsa kebakaran untuk mereka membina semula rumah yang musnah beberapa bulan lepas.
“Pihak kita juga berusaha untuk menpercepatkan pembinaan kerana kita faham keluarga mangsa bakal menyambut Ramadan dan Syawal pada awal tahun depan, jadi kena cepatlah,” tambahnya.
Henry Sum turut beramah mesra dengan penduduk kampung dalam program yang tidak formal sambil mendengar sendiri permasalahan yang mereka hadapi.
Menurutnya, beliau akan meneruskan program kunjungan ke kampung-kampung di Lawas untuk melihat keperluan mereka selain mendapat input untuk dibawa kepada Kerajaan Persekutuan.
Beliau kemudian meneruskan kunjungan melihat Kampung Kerangan Lawas bersama Ketua Kampung dan Ketua Ranting Parti PBB di Kampung Kerangan.
Oleh ADENG EDRUS