KOTA SARAMAHAN: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) merancang menambah dua lagi depoh simpanan keperluan mangsa bencana di Sarawak.
Menterinya, Dato Sri Nancy Shukri berkata depoh simpanan keperluan mangsa bencana ini dirancang akan dibina di Sibu dan Miri.
Beliau berkata pihaknya sedang mengenal pasti lokasi untuk pembinaan dua lagi depoh simpanan keperluan mangsa bencana di dua bahagian tersebut, yang ketika ini hanya menggunakan depoh kecil (mini depoh).
“Seperti di Sibu, kita perlu kenal pasti lokasinya bersesuaian, kerana Sibu selalu banjir, jadi kita mencari tempat di mana tidak berlakunya banjir, sama juga seperti di Miri.
“Jadi selepas sudah dikenal pasti nanti, kita akan mulakan proses tender” katanya ketika ditemui pemberita ketika pada majlis pelepasan Konvoi Kembara Kasih KPWKM di Depot Simpanan Keperluan Mangsa Bencana Samarahan, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Nancy menyatakan pihaknya juga sedang merancang untuk membina mini depoh, di bahagian-bahagian lain di Sarawak. Bagaimanapun lokasi untuk mini depoh ini belum dimuktamadkan.
Untuk makluman, Depoh Simpanan Keperluan Bencana Samarahan ini mampu menyalurkan bantuan kepada 30,000 mangsa.
Depoh yang dibina dengan kos RM6.1 juta itu adalah untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa terlibat bencana seperti banjir, kebakaran dan lain-lain bagi kawasan Serian, Kuching dan Samarahan
Depoh ini menyediakan barangan seperti khemah, alas tidur, bantal, kerusi roda, makanan, minuman dan mainan kanak-kanak dengan kapasiti simpanan maksimum sebanyak 420 tan metrik.
Selain menyediakan barangan keperluan melalui depoh simpanan keperluan mangsa banjir, kata Nancy, pihaknya juga sentiasa menyediakan khidmat kaunseling dan penghibur kanak-kanak untuk mangsa-mangsa yang terlibat dalam bencana.
Oleh SHAHRUL QAIZAT