KUCHING: Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK), Dato Sri Fatimah Abdullah mengeji tindakan seorang ayah tiri yang merogol anak tirinya yang berusia 10 tahun.
“Harapkan pagar, pagar makan padi. Adalah menjadi tanggungjawab sebagai seorang ayah untuk melindungi dan menjaga anaknya dan bukan dengan merogol seorang anak yang lemah.
“Tindakan keji ini semestinya akan memberi kesan psikologi jangka panjang kepada anak yang tidak berdosa itu,” katanya memberi respons kepada artikel yang bertajuk “Bekas tukang masak mendapat 17 tahun, 10 pukulan untuk merogol anak tirinya” oleh The Borneo Post bertarikh 3 Februari 2021.
Pada masa yang sama beliau memuji semua pihak yang terlibat daripada polis, pelapor dan keberanian anak gadis muda itu yang berkongsi trauma menjadi mangsa jenayah untuk membawa pelaku jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan wanita ke muka pengadilan
“Lebih tragik apabila jenayah ini banyak berlaku namun ramai yang tidak sedar akan hal ini, jadi kita mahu memberi kesedaran supaya ibu bapa lebih banyak mendengar rintihan kanak-kanak demi menghentikan perbuatan keji ini.
“Pada masa ini anggaran jenayah ini jauh lebih tinggi daripada jumlah yang dilaporkan, jadi untuk memastikan kadar jenayah ini kurang bergantung dengan kempen kesedaran yang akan kita jalankan dan membuat lebih banyak pendakwaan,” katanya.
Beliau juga memberi amaran bahawa pelaku jenayah seksual akan sentiasa diperhatikan yang mana mereka tidak akan dapat menyembunyikan kegiatan mereka dan bakal menghadapi hukuman jika melakukannya.
Fatimah juga memberi jaminan bahawa perkhidmatan pendakwaan dan pengadilan akan peka dan mendengar luahan kanak-kanak yang menjadi mangsa dalam jenayah ini.
“Kita juga memerlukan orang sekeliling untuk memainkan peranan mereka dalam melindungi anak-anak yang jelas mudah terdedah kepada jenayah ini.
“Saudara-mara, guru-guru, kakitangan perubatan, rakan-rakan perlu mendengar rintihan anak-anak dan memandang serius apa yang mereka katakan kepada anda,” ujarnya lagi
Fatimah juga mengingatkan supaya ibu bapa tidak menolak apa yang anak ingin kongsikan kerana pelaku berada dalam semua lapisan masyarakat dan mungkin merupakan kenalan yang boleh dipercayai.
Oleh ASYRAF HALIM