KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) mensasarkan Kuching sebagai bandar raya rendah karbon seiring dengan hala tuju kerajaan Sarawak dalam memacu pembangunan sosioekonomi yang mampan menjelang 2030.
Datuk Bandar DBKU, Dato Hilmy Othman berkata, matlamat utama DBKU menjadikan bandar raya Kuching sebagai sebuah bandar raya rendah karbon adalah untuk mengurangkan intensiti pelepasan karbon.
“DBKU mampu menyediakan pembangunan asas dalam bandar ini dan ia dapat meningkatkan penjanaan ekonomi setempat, mengurangkan impak kepada alam sekitar dan meningkatkan kualiti hidup warga bandar raya.
“Besarlah harapan saya agar inisiatif-inisiatif yang telah dirancang oleh DBKU dan agensi-agensi lain akan membuka lebaran baharu dalam usaha menjadikan bandar raya Kuching sebagai sebuah bandar raya rendah karbon.
“DBKU akan sentiasa memainkan peranan penting dalam memastikan bandar raya Kuching sebagai sebuah bandar raya terbaik di Malaysia dan di seluruh dunia dalam aspek pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Forum Stakeholder Aseemblies SUF 1.0 di Pusat Acara Hikmah Exchange (HEEC) di sini, hari ini.
Dalam majlis sama, beliau berkata, sepanjang berlangsungnya forum ini, ia dapat menjadikan satu platform penting di mana pelbagai pihak berkepentingan dapat berkumpul, bertukar pandangan dan membina kerjasama dalam usaha untuk mencapai matlamat pembangunan bandar yang mampan.
Beliau juga percaya bahawa peserta telah mendapat input mesej yang berkesan dan dapat memberi inspirasi kepada semua yang terlibat.
Sarawak, katanya, ketika ini menekankan tentang strategi pembangunan Pasca Covid-19 2030 dengan aspirasi menjadi sebuah negeri dan masyarakatnya yang berkembang maju untuk dinikmati oleh semua orang seperti kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan persekitaran yang mampan.
“DBKU juga akan memastikan persekitaran bandaraya bersih dan sihat untuk generasi semasa dan akan datang,” katanya.
Justeru, beliau berharap usaha DBKU ini akan terus berkembang dan akan sentiasa komited dalam memainkan peranan yang penting untuk pembangunan badar yang mampan dan inklusif.
Oleh Noor Ikmal