Datus United berjaya melakar sejarah tersendiri apabila merangkul Piala Liga Veteran Sri Aman 2020 Piala Datuk Francis Harden Hollis di Padang Kompleks Sukan Sri Aman semalam.
Hari bersejarah buat rangkaian asuhan ketua jurulatih pasukan, Sufian Ibrahim itu tercipta setelah kelebihan memihak kepada mereka apabila pencabar terdekat, Saberkas Simanggang hanya mencipta keputusan 4-1 menentang Veteran Pan Borneo pada aksi terkahir petang semalam.
Pengurus Pasukan Datus United, Awang Putra Yusri Awang Redzuan menyifatkan kejayaan pasukannya merangkul gelaran juara Liga Veteran Sri Aman 2020 adalah berkat usaha keras pemain serta beraksi dalam satu pasukan.
“Pasukan kita telah mencipta sejarah tersendiri untuk menjuarai saingan Liga Veteran Sri Aman 2020 ini.
“Saingan yang begitu hebat yang diberikan oleh pasukan-pasukan terutamanya Saberkas Simanggang yang seakan-akan tidak mahu mengalah dan akhirnya kami dinobatkan sebagai juara baharu bagi musim 2020 ini,” katanya ketika ditanya pemberita selepas penyampaian hadiah semalam.
Dalam pada itu, jurulatih Datus United, Sufian Ibrahim berkata impian dan harapan yang direalisasikan untuk menjadi juara telah tercapai.
“Alhamdulillah…misi untuk Datus United pada musim depan adalah untuk mempertahankan kejuaraan ini dan kita akan melengkapkan lagi skuad ini lebih kuat,” tegasnya.
Datus United berjaya mencatatkan tiga kemenangan, sekali seri dan mengumpul sebanyak 10 mata untuk bergelar juara.
Dengan itu, Datus United berjaya merangkul Piala Liga Veteran Sri Aman 2020 Piala Datuk Francis Harden Hollis bersama hadiah wang tunai sebanyak RM2,000, piala iringan dan medal.
Manakala Saberkas Simanggang yang muncul sebagai naib juara membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,500, piala iringan dan medal, pasukan Marr Reds dari Serian ditempat ketiga dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, piala iringan dan medal.
Veteran Pan Borneo dan Nanang Enterprise FC yang menduduki tempat keempat dan kelima masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM250.
Sementara itu, Ramos Sari dinobatkan anugerah penjaring terbanyak sepanjang perlawanan dengan mengumpul tujuh gol dan Nanang Enterprise FC pula dianugerahkan sebagai pasukan Fair Play.
Datus United diperkuatkan beberapa pemain handalan termasuk dua kembar Sari, Ramos Sari, Ramles Sari serta dua bekas pemain Sarawak, Abang Yahya Abang Sulaiman (ketua pasukan) dan juga Rockeffller Sullau.
Kesemua hadiah kepada pemenang telah disampaikan oleh Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Datuk Francis Harden Hollis. Turut hadir ialah Naib Presiden FAS Abdillah Majid dan Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Bahagian Sri Aman (FASA), Alfred Kendim.
Oleh ADI SAFARMAN