KUCHING: Dato Sim Kiang Chiok mengekalkan jawatan Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Stakan bagi tempoh tiga tahun akan datang.
Keputusan sebulat suara ahli Jawatankuasa SUPP Cawangan Stakan itu dicapai pada mesyuarat agung tiga tahun sekali (TGM) yang diadakan semalam.
Dalam pada itu, jawatan setiausaha cawangan disandang oleh Sivanesan Sanmugalingam, manakala Chai Ngee Wui menyandang jawatan sebagai bendahari cawangan.
Sementara itu, Valentine Dalley Yong kekal dipilih sebagai Pengerusi Belia SUPP Cawangan Stakan.
SUPP Cawangan Stakan menerusi satu kenyataan memaklumkan proses penamaan calon menyaksikan 33 ahli tidak bertanding dalam jawatankuasa cawangan.
”Proses penamaan calon telah dijalankan mengikut garis panduan parti yang diberi mandat pada 2 November 2024,” katanya.
Jawatankuasa baharu itu akan berkhidmat untuk tempoh tiga tahun berikutnya.