Dataran Kejat Hospital Saratok siap lebih awal, mudah urusan pesakit dan warga hospital

Facebook
WhatsApp
KAUNSELOR Kasdi Pandi telah hadir mewakili ADUN Kalaka pada penyerahan tapak projek siap di Hospital Saratok, semalam. Foto ADUN Kalaka

SARATOK: Projek menaik taraf Dataran Kejat di Hospital Saratok di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) berjaya disiapkan sepenuhnya, malah lebih awal daripada jadual ditetapkan.

ADUN Kalaka, Mohamad Duri berkata, projek berkenaan dilaksanakan kontraktor Rising Sun Enterprise menerusi proses cabut undi dan merupakan antara usaha berterusan untuk meningkatkan kemudahan serta keselesaan pengguna Hospital Saratok.

Beliau berkata, permohonan menaik taraf Dataran Kejat itu dikemukakan pihak Hospital Saratok kepadanya pada 2025 sebelum diluluskan untuk dilaksanakan pada tahun ini.

“Alhamdulillah, projek ini telah siap sepenuhnya dan lebih awal daripada jadual asal. Saya berharap kemudahan yang dinaik taraf ini dapat memberikan keselesaan kepada pesakit, waris serta kakitangan hospital,” katanya.

PROJEK menaik taraf Dataran Kejat Hospital Saratok di bawah RTP berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual ditetapkan. Foto ADUN Kalaka

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kalaka, Kaunselor Kasdi Pandi, hadir mewakilinya pada penyerahan Tapak Projek Siap di Hospital Saratok, dekat sini semalam.

Menurut Mohamad Duri, sebelum projek dilaksanakan, beliau bersama Pejabat Residen Bahagian Betong, Pejabat Daerah Saratok, Jabatan Kerja Raya (JKR) serta pihak Hospital Saratok telah menjalankan lawatan dan siasatan tapak pada 16 Februari tahun ini.

“Hasil lawatan dan siasatan tersebut, kita mendapati terdapat keperluan untuk menaik taraf kawasan berkenaan, khususnya jalan yang rosak di hadapan Rumah Mayat dan perkarangan Unit Hemodialisis.

“Syukur Alhamdulillah, jalan berkenaan kini telah siap diturap dan keadaan ini tentunya memberikan keselesaan serta kemudahan lebih baik kepada pesakit dan kakitangan hospital,” katanya.

Mohamad Duri turut merakamkan penghargaan kepada Rising Sun Enterprise atas komitmen yang diberikan sehingga projek berkenaan dapat disiapkan lebih awal daripada jadual asal.

Beliau turut menghargai kerjasama JKR Bahagian Betong dan Saratok, Pejabat Residen Bahagian Betong, Pejabat Daerah Saratok serta semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam memastikan projek berkenaan dapat direalisasikan.

“Kerjasama semua pihak amat dihargai kerana hasilnya dapat dilihat melalui kemudahan yang kini lebih baik dan selesa untuk kegunaan masyarakat, khususnya pesakit serta warga kerja Hospital Saratok,” katanya.

Oleh Adi Safarman